suria

Kestabilan politik penting bagi kejayaan Malaysia bersaing dalam dunia global

MUKAH: Kestabilan politik merupakan sesuatu yang amat penting bagi menentukan kejayaan persaingan Malaysia dalam dunia global, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurutnya para pelabur pasti akan bertumpu kepada sebuah negara yang dapat menampilkan suasana persekitaran politik yang stabil "dengan urus tadbir yang baik, perkhidmatan awam yang mantap dan politik yang stabil".

Beliau berkata mereka (pelabur) pasti akan mengelak daripada menanam modal di negara di mana rakyatnya memiliki perasaan benci serta marah terhadap kerajaan, dan beliau menasihatkan orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia umpama syurga buat para pelabur.

"Dalam keadaan ekonomi semasa dunia, Malaysia sedang bersaing dengan negara-negara yang besar dan berkuasa seperti Amerika contohnya, bagi merebut wang pelabur," katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Sementara itu merujuk kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), Taib berkata ia merupakan peninggalan terbaik negeri kepada generasi akan datang.

"Score boleh menjana sehingga hampir 1.5 juta pekerjaan menjelang 2030. Peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah mencukupi untuk semua, bagi menangani perbezaan tahap kemahiran dan kelayakan setiap penduduk," katanya.

Score dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bintulu pada bulan Februari lepas, yang mengikut pelan induknya kawasan koridor seluas 70,700 kilometer persegi itu disasarkan untuk menyaksikan pelaburan berjumlah RM334 bilion, dengan kerajaan persekutuan menyumbang 15 peratus dalam tempoh antara tarikh pelancarannya dan tahun 2030.

Taib berkata Score akan menjadi satu mercu tanda kejayaan, kerana rakyat Sarawak memang terkenal bukan sahaja dengan sikap mereka yang sentiasa fokus terhadap kerja, tapi juga amat gigih dalah usaha mencapai kejayaan. BERNAMA

Artikel Lain