suria

Setiausaha Agung Gerakan tidak tanding sebarang jawatan bulan depan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti yang dijadual pada 11 Oktober.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti dan melihat senario politik dan parti semasa, saya memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti.

"Saya akan melaksanakan tugas sebagai Setiausaha Agung parti, Pengerusi Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pemilihan sehingga 12 Oktober, hari terakhir NDC," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sejak beberapa minggu lepas, cakap-cakap politik kuat menyatakan terutamanya dalam laporan akhbar berbahasa Cina bahawa Chia sedang bersiap sedia untuk bertanding jawatan utama sama ada Presiden atau Timbalan Presiden parti.

Mengucapkan terima kasih kepada anggota parti yang memberi sokongan penuh, Chia berkata, beliau mengumumkan keputusannya hari ini bagi mengelakkan spekulasi berterusan bahawa beliau kini bersedia untuk mencabar Pemangku Presiden, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan pemimpin lain bagi jawatan timbalan presiden.

"Saya mengumumkan keputusan ini beberapa hari sebelum pencalonan bagi mengelakkan spekulasi mengenai kedudukan saya. Saya akan menjelaskan keputusan saya dengan terperinci kepada para perwakilan semasa NDC," katanya.

Ditanya sama ada beliau merancang untuk bersara, Chia berkata: "Saya akan terus berkhidmat kepada parti dan menyumbang ke arah pembangunan politik di negara ini."

Sama ada keputusannya untuk tidak bertanding mempunyai kaitan dengan pemilihan Gerakan Pulau Pinang, Chia yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan berkata, ia tiada kena-mengena.

Pada pemilihan 21 September lepas, Chia ditewaskan oleh Naib Presiden, Datuk Dr. Teng Hock Nam, dalam perebutan jawatan pengerusi negeri apabila hanya memperoleh 156 undi berbanding Teng yang mendapat 166 undi manakala seorang lagi calon, pengerusi bahagian Bukit Gelugor Cheang Chee Gooi, mendapat hanya 21 undi. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain