suria

Perbezaan Antara 'Golong' Dengan 'Gulung'

Terkini OLEH sebab sebutannya hampir-hampir sama, seringlah kata golong dan gulung dikacaukan orang penggunaannya.

Dalam tulisan, ejaan kedua-dua patah kata tersebut kerap dikacaukan juga, sehingga kata golong dieja sebagai g-u-l-u-n-g dan demikianlah pula sebaliknya kata gulung dieja sebagai g-o-l-o-n-g.

Kekeliruan tersebut sebenarnya dapat anda atasi jika anda memahami makna kedua-dua kata itu.

Menurut kamus, kata golong berkaitan dengan "hal membahagikan atau memasukkan".

Demikianlah, biasa anda menemukan kata menggolongkan dan digolongkan seperti dalam ayat:

> Ahli-ahli bahasa menggolongkan bahasa Melayu ke dalam rumpun bahasa Austronesia. (bererti "memasukkan")

> Pelajar sekolah di negara ini  janganlah hendaknya digolong­golongkan menurut kaum. (bererti "dibahagi-bahagikan")

Sebagai nama, ada pula kata golongan yang bererti  "puak", "kelompok", dan "kumpulan". Misalnya:

> Golongan penulis amat  besar pengaruhnya kepada masyarakat.

Apakah pula makna gulung?

Menurut kamus, kata tersebut bererti "barang yang berhelai-helai atau berutus-utus yang berbentuk panjang bulat sebagai akibat digulung". Misalnya:

> Anggota-anggota pengakap itu mengembara dengan membawa beberapa gulung kawat.

Dalam bentuk kata kerja, ada kata menggulung dan digulung. Misalnya:

> Pak  Senin  menggulung  tikar  yang  menjadi alas tidurnya lalu meletakkannya di sudut dinding.

Sesuatu yang bergulung pula disebut gulungan.  Oleh sebab itu wajarlah dielakkan penggunaan kata yang salah seperti yang berikut  ini:

> Gulungan petani sering tertindas.

> Mereka tergulung dalam orang yang beruntung.

> Tikar  mengkuang itu digolongnya dengan  berhati-hati.

> Penggulungan  yang  dibuat   oleh   ahli  sejarah   Barat  terhadap masyarakat negara ini tidak tepat.

> Kami digulungkannya sebagai penentang.

Ayat 1, 2, 3 dan 4 lucu maknanya kerana tidak mungkin petani, mereka, masyarakat dan kami dapat digulung.

Kata yang tepat ialah golongan (ayat 1); tergolong  (ayat 2); digulung (ayat 3); penggolongan (ayat 4); dan digolongkan (ayat 5).

Sekarang, perhatikan beberapa contoh lagi penggunaan kata yang tepat dalam ayat-ayat yang berikut ini:

> Golongan yang berpendidikan harus memimpin masyarakat.

> Ahli falsafah menggolongkan ilmu kepada beberapa bidang.

> Anda tergolong dalam kalangan orang yang baik.

> Mudah-mudahan ia digolongkan ke dalam orang yang beriman.

> Gulungan tali dibawanya bersama ketika memanjat  pohon  itu.

> Lima gulung kain cukup  untuk  didermakan kepada  orang-orang miskin di kampung ini.

> Ombak datang bergulung-gulung lalu memukul  pantai.

> Ia segera menggulung kertas  itu lalu pergi.

> Segulung ijazah itu memberikan erti yang besar kepadanya.

> Gulungan itu begitu ketat  diikat sehingga tidak dapat kami ketahui kandungannya.

SUMBER: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar. Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

> Ruangan Ini Diselenggarakan Dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. 


golong, gulung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain