suria

Setia hingga hujung nyawa... Isteri meninggal dunia selepas 80 tahun tunggu suami pulang

Seorang wanita meninggal dunia pada usia 103 tahun. Foto SCMP /YouTube

SEORANG wanita meninggal dunia pada usia 103 tahun selepas menunggu kepulangan suaminya selama lebih lapan dekad.

Warga emas yang dikenali sebagai Du Huzhen itu menghembus nafas terakhir di rumahnya pada 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, keluarga Du tidak mendedahkan punca kematian wanita itu.

Kejadian berlaku di wilayah Guizhou, di barat daya China.

Menurut keluarganya, sebelum meninggal dunia, Du memegang sarung bantal lama di tangannya yang digunakannya ketika berkahwin pada 1940, lapor Shanghai Morning Post.

Du berkahwin dengan suaminya, Huang Junfu yang tiga tahun lebih muda daripadanya.

Tidak lama selepas perkahwinan mereka, Huang menyertai tentera Kuomintang dan meninggalkan rumah untuk terlibat dalam pertempuran di seluruh negara.

Pada 1943, Du menemui Huang dan tinggal bersamanya semasa dia menjalani perkhidmatan ketenteraan sehingga dia hamil dan kembali ke rumah.

Dia melahirkan anak lelaki, Huang Fachang, pada Januari 1944. Beberapa hari selepas kelahiran anak mereka, Huang pulang ke rumah untuk menguruskan pengebumian ibunya.

Huang kemudian menyertai tentera semula dan tidak pernah kembali sejak itu.

Suaminya masih menghantar surat, tetapi kiriman terakhir ditulis pada 15 Januari 1952.

Semasa ketiadaan suaminya, Du menyara keluarga dengan bekerja di ladang pada waktu siang dan menenun selipar jerami serta kain pada waktu malam.

Du menolak semua lamaran perkahwinan kerana masih setia menantikan suaminya, Huang.

Dokumen dari jabatan kerajaan di daerah Zunyi yang menguruskan hal ehwal rakyat Cina di luar negara menunjukkan bahawa Huang menetap di Malaysia pada 1950 sebelum berpindah ke Singapura beberapa tahun kemudian.

Pihak berkuasa berkata, mereka tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai Huang.

Keluarga Du berkata, mereka mencuba pelbagai cara untuk mencari Huang, termasuk menyiarkan notis di akhbar dan mengupah agensi luar negara, tetapi semuanya tidak berhasil.

Menurut cucu Du, Huang Liying, neneknya kelihatan tenang ketika menghembuskan nafas terakhir, seolah-olah wanita itu melihat satu gambaran pertemuan semula dengan suaminya.

Tambah cucunya, mereka sekeluarga akan terus memenuhi hasrat Du untuk berusaha mencari Huang Junfu serta keturunannya. -Agensi

 

Artikel Lain