suria

Covid-19 boleh tersebar melalui percakapan, malah pernafasan - Pakar maklumkan Rumah Putih

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, virus itu tersebar dari manusia ke manusia dalam jarak kira-kira 1.8 meter antara satu sama lain ‘melalui titisan pernafasan apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin.'

BARISAN panel saintifik berprestij memberitahu White House bahawa kaji selidik menunjukkan koronavirus boleh disebarkan bukan hanya melalui bersin atau batuk, tetapi juga dengan percakapan malah mungkin melalui pernafasan.

“Walaupun penyelidikan khusus (koronavirus) semasa adalah terhad, hasil kajian yang ada adalah konsisten dengan aerosolisasi virus daripada pernafasan normal," menurut surat yang ditulis oleh pengerusi sebuah jawatankuasa dengan National Academy of Sciences, Dr Harvey Fineberg.

Fineberg memberitahu CNN bahawa dia akan mula memakai topeng apabila pergi membeli barang keperluan.

”Saya tak akan pakai topeng pembedahan, kerana doktor lebih memerlukannya.

”Tetapi saya mempunyai bandana gaya barat yang cantik yang mungkin saya akan pakai, atau saya mempunyai balaclava, saya mempunyai beberapa pilihan yang bagus,” kata Fineberg yang juga bekas dekan Sekolah Kesihatan Awam Harvard.

Dr Anthony Fauci, ahli utama pasukan petugas koronavirus White House memberitahu CNN bahawa idea untuk mengesyorkan penggunaan topeng secara meluas di Amerika Syarikat untuk mencegah penyebaran wabak itu berada di bawah ‘perbincangan yang sangat aktif’ oleh kumpulan itu.

Fineberg berkata suratnya dikirim pada Rabu malam sebagai respons kepada permintaan dari Kelvin Droegemeier dari Pejabat Pusat Sains dan Teknologi di Rumah Putih.

”Surat ini adalah respons kepada soalan anda tentang kemungkinan bahawa koronavirus boleh disebarkan melalui perbualan, selain bersin atau titisan yang disebabkan oleh batuk," kata surat itu.

“Penyelidikan sedia ada kini menyokong kemungkinan koronavirus dapat disebarkan melalui bioaerosol yang dijana secara langsung oleh pernafasan pesakit," katanya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, virus itu tersebar dari manusia ke manusia dalam jarak kira-kira 1.8 meter antara satu sama lain ‘melalui titisan pernafasan apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin.’

Fineberg memberitahu CNN bahawa ia benar, tetapi penyelidikan menunjukkan bahawa titisan aerosol yang dihasilkan dengan bercakap, malah mungkin dengan hanya bernafas juga boleh menyebarkan virus itu.

Suratnya menjelaskan bahawa satu penyelidikan di sebuah hospital di China menunjukkan virus itu boleh terapung di udara apabila doktor dan jururawat membuka pakaian atau alat perlindungan, apabila lantai dibersihkan atau apabila kakitangan bergerak ke sana sini.

Penyelidikan oleh Universiti Nebraska menunjukkan bahawa bahan genetik dari virus itu ditemui di bilik pesakit pada jarak lebih dari 1.8 meter dari pesakit, menurut surat itu.

Fineberg berkata bahawa titisan aerosoli koronavirus boleh terapung di udara dan berpotensi menjangkiti seseorang yang berjalan di situ kemudian. -CNN

Covid-19, cakap, bernafas, jangkit, bersin

Artikel Lain