suria

Pemandu buat FB live marah penumpang batuk dalam bas meninggal dunia akibat Covid-19

Hargrove meninggal dunia akibat Covid-19 pada Rabu lalu.

JASON Hargrove tidak dapat menyembunyikan kemarahannya terhadap seorang penumpang yang batuk secara terbuka di dalam bas yang dipandunya.

Ketika peralihan syif kerja bulan lalu, Hargrove, seorang pemandu bas bandar yang berkhidmat dengan Jabatan Pengangkutan Detroit, dalam satu video live di Facebook dengan marah menceritakan bagaimana seorang wanita batuk di hadapannya dan penumpang lain ketika seluruh Amerika Syarikat bimbang dengan pandemik Covid-19.

”Kami di sini sebagai pekerja awam, melakukan tugas kami, berusaha secara ikhlas untuk menjaga keluarga kami," katanya pada 21 Mac lalu.

“Tetapi apabila anda naik dan berdiri dalam bas serta batuk beberapa kali tanpa menutup mulut, dan anda tahu kita semua berada di tengah-tengah pandemik, barulah saya sedar bahawa sesetengah orang tidak peduli,” kata pemandu bas berusia 50 tahun itu lagi.

Pada Khamis, ketua kesatuan pemandu bas Detroit mengumumkan bahawa Hargrove telah meninggal dunia akibat Covid-19 pada Rabu.

Glenn Tolbert memberitahu Detroit News bahawa Hargrove mula sakit pada 25 Mac, empat hari selepas berdepan kejadian penumpang batuk. Seminggu kemudian, dia maut.

Walaupun tidak diketahui sama ada Hargrove mendapat penyakit itu daripada penumpang yang diceritakan dalam videonya atau melalui cara lain, kematian pemandu bas itu dan kata-katanya yang mengerikan telah menimbulkan kekecohan di Detroit, salah satu lokasi panas Covid-19 di negara itu.

"Saya tidak tahu bagaimana anda boleh menonton video itu dan tidak sedih," kata Datuk Bandar Detroit Mike Duggan pada sidang media, Khamis.

”Dia tahu hidupnya diletakkan dalam bahaya... oleh seseorang yang tidak mengambil serius hal ini dan sekarang dia sudah pergi.” -Washington Post

pemandu, bas, Covid-19, batuk, penumpang

Artikel Lain