suria

Saintis di Jerman dakwa virus Covid-19 tidak tersebar dengan menyentuh objek, permukaan

Profesor Hendrik Streeck.

SEORANG saintis terkemuka di Jerman berusaha membuang persepsi orang ramai mengenai koronavirus (Covid-19) dengan mendakwa virus itu mungkin tidak tersebar dengan mudah seperti yang kita fikirkan.

Profesor Hendrik Streeck, ketua virologi di University of Bonn menjalankan penyelidikan di sebuah perkampungan kecil Heinsberg, pusat penularan wabak Covid-19 terburuk di negara itu.

Jerman merekodkan 79,696 kes positif Covid-19 dan 1,017 kematian dengan Heinsberg mencatatkan 1,302 kes jangkitan dan 37 kematian.

Namun ketika Profesor Streeck melakukan pemeriksaan di kediaman salah sebuah keluarga terjejas, dia tidak menjumpai sebarang virus hidup yang berada di mana-mana permukaan atau pun objek.

Ia sekali gus bertentangan dengan pemahaman orang ramai bahawa virus Covid-19 boleh hidup lebih lama di pelbagai permukaan dan objek.

Virus itu turut tidak ditemui pada tombol pintu atau pun bulu haiwan.

"Tiada bukti jangkitan ketika membeli-belah atau mendapatkan khidmat pendandan rambut.

"Penyebaran virus di tempat lain seperti parti di Ischgl, kelab di Berlin dan perlawanan bola sepak di Bergamo.

"Kami tahu ia bukan jangkitan yang tersebar dengan menyentuh objek," katanya dalam satu temubual bersama sebuah stesen TV Jerman.

Beliau berkata pesakit di Jerman hanya menjangkiti rakan sekerja mereka dan bukannya pengunjung di hotel pesakit itu tinggal.

Jika benar, dakwaan ini akan menimbulkan keraguan mengenai semua teori sedia ada tentang penyebaran Covid-19 daripada seorang pesakit kepada orang lain. - Dailystar.co.uk

Covid-19, virus, permukaan, objek, Wuhan, saintis

Artikel Lain