suria

Wanita disyaki dijangkiti Covid-19 bikin kecoh dalam tren, ludah petugas kesihatan hulur topeng muka

Wanita yang demam dan batuk itu kemudiannya digari sebelum dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan.

KEKECOHAN berlaku di Stesen Keretapi Nong Sun, Nakhon Ratchasima di Thailand apabila seorang wanita enggan memakai topeng muka.

Wanita berusia 53 tahun itu kelihatan tidak sihat hingga mendorong ketua stesen kereta api itu, Thaworn Khamchunphon berkenaan memaklumkan pasukan kesihatan untuk segera datang memeriksanya.

Bagaimanapun, wanita yang disahkan demam dengan bacaan suhu 37.9 darjah celsius selain batuk bertindak meludah anggota kesihatan terlibat.

Wanita itu bertindak demikian ketika berada dalam tren yang dalam perjalanan dari Kaeng Khoi-Khon Kaen dan lebih mengejutkan dia menaiki pengangkutan itu tanpa membeli tiket.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Jumaat itu, tiga kakitangan Hospital Non Sung yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) telah memasuki koc kereta api berkenaan.

Seorang daripada mereka telah menghulurkan topeng muka kepada wanita berkenaan dan meminta supaya dia menjalani ujian saringan Covid-19 di stesen kereta api itu, tetapi wanita itu menolak dan menjerit sebelum meludah ke arah anggota kesihatan itu.

Tindakannya menyebabkan dia digari dan dibawa keluar dari koc kereta api untuk pemeriksaan suhu dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Susulan itu juga, pasukan bantuan dihubungi untuk menyembur bahan nyahkuman di tren dan stesen berkenaan.

Insiden itu menyebabkan perjalanan tren berkenaan tergendala kira-kira sejam.

Pihak hospital kemudiannya memaklumkan kepada pengurusan stesen kereta api itu bahawa wanita itu mempunyai sejarah penyakit mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Psikiatrik Nakhon Ratchasima Rajanagarindra.

Wanita itu telah ditempatkan untuk kuarantin selama 14 hari bagi mengelak penularan wabak berkenaan dan jika didapati negatif akan diserahkan kepada ahli keluarganya.- bangkopost.com

Covid-19, tren, ludah

Artikel Lain