suria

Bill Gates umum tandas futuristik tanpa air, pembetung

Bill Gates. -fotoGetty

PENGASAS Microsoft Bill Gates mengumumkan rekaan tandas futuristik yang tidak memerlukan air dan hanya menggunakan bahan kimia untuk menjadikan sisa manusia sebagai baja.

Jutawan itu bercakap pada 'Ekspo Cipta Semula Tandas' yang berlangsung selama tiga hari di Beijing pada Selasa.

Tandas itu, yang merupakan gagasan projek penyelidikan yang dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates, sedia untuk dijual selepas pembangunan bertahun-tahun.

Yayasan itu telah memberikan komitmen sebanyak kira-kira AS$200 juta (RM832 juta) untuk projek tersebut.

Organisasi itu menjangkakan akan menghabiskan jumlah yang sama sekali lagi sebelum inovasi itu berdaya maju untuk pengedaran secara meluas.

Tandas itu mempunyai pelbagai reka bentuk tetapi semuanya berfungsi untuk memisahkan sisa cecair dan pepejal.

Mengenai teknologi itu Gates berkata: "Tandas semasa hanya menghantar sisa di dalam air, sedangkan tandas-tandas ini tidak mempunyai pembetung.

"Ia menerima cecair dan pepejal dan melakukan kerja kimia ke atasnya, termasuk membakarnya dalam kebanyakan kes."

Dia membuat perbandingan perubahan dari tandas tradisional kepada model tanpa air seperti mana perkembangan dalam pengkomputeran sekitar zaman dia menubuhkan Microsoft pada pertengahan 1970-an.

Setiap tahun, masalah sanitasi membunuh setengah juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Dunia membelanjakan lebih dari AS$200 bilion setahun dalam kos penjagaan kesihatan dan kehilangan pendapatan, menurut yayasan tersebut.

Bekas Ketua Eksekutif Microsoft itu berkata langkah seterusnya bagi projek ini adalah untuk memperkenalkan konsepnya kepada pengeluar, sambil menambah dia menjangkakan pasaran untuk tandas itu adalah lebih dari AS$6 bilion (RM25 bilion) menjelang 2030.

Ini adalah kali pertama yayasan ini menyertai acara di China, di mana Presiden Xi Jinping mempromosikan 'revolusi tandas' selama tiga tahun untuk membina atau menaikkan taraf 64,000 tandas awam menjelang tahun 2020 untuk membantu meningkatkan pertumbuhan pelancongan dan ekonomi. -SkyNews

Bill Gates, Microsoft, tandas

Artikel Lain