suria

Lion Air: Data dedah pesawat rosak sejak empat penerbangan terakhir

Pesawat Lion Air dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang terhempas pada Isnin lalu.

PENYIASAT nahas Lion Air memaklumkan data petunjuk kelajuan udara pesawat Boeing Co 737 MAX yang terhempas pada minggu lalu telah rosak sejak empat penerbangan terakhir.

Maklumat itu telah dimuat turun dari perakam data penerbangan, menurut ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjono kepada pemberita pada Isnin.

Tambahnya, agensi itu juga sudah bertanya kepada Boeing dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengenai tindakan yang perlu diambil jika masalah sama berulang lagi ke atas pesawat lain selepas ini.

"Kita sedang mencari formula dengan NTSB dan Boeing mengenai maklumat siasatan berhubung penentu kelajuan udara," ujarnya.

Pegawai Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), Dan Elwell berkata, pihaknya dan NTSB mempunyai pasukan pakar di Indonesia, atas permintaan kerajaan negara itu.

"Sebarang tindakan FAA berhubung insiden ini perlu ditunggu sehingga penemuan dilengkapkan dan cukup informasi," katanya dari Washington.

Sementara itu, pasukan penyiasat sehingga kini belum mendedahkan sebarang laporan mengenai kegagalan petunjuk kelajuan udara pesawat itu.

Malah FAA berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai masalah itu melibatkan pesawat model sama di AS.

"Kami tak tahu apa masalah sebenar, apakah langkah yang telah diambil untuk membaikinya. Apa buku panduan yang dirujuk mahupun komponen apa yang telah dibuang.

"Ini merupakan beberapa perkara yang sedang kita siasat, kami nak tahu apa yang rosak dan apa yang telah dibaiki sebelum nahas berlaku," kata Nurchayo Utomo, wakil dari jawatankuasa yang mengetuai siasatan insiden itu.

Menurut pihak berkuasa, pada peringkat ini, masih awal untuk menentukan punca sebenar nahas yang berlaku melibatkan pesawat Lion Air dari Jakarta ke Pangkal Pinang itu.

Sehingga kini, pihak berkuasa juga belum menemui perakam suara kokpit pesawat dan Boeing juga menolak untuk memberi sebarang kenyataan.

Nahas itu merupakan yang pertama melibatkan model pesawat jenis Boeing 737 MAX yang mula diperkenalkan dalam penerbangan Lion Air sejak tahun lalu. -

Reuters.

Lion Air, Boeing

Artikel Lain