suria

Jokowi Angkat Sumpah Jawatan Presiden Indonesia Esok

Poster antara hiasan untuk meraikan Jokowi sebagai Presiden Indonesia yang baharu mulai esok.
JAKARTA: Kurang 24 jam lagi, bekas gabenor bandaraya ini, Joko Widodo secara rasmi akan mengambil alih jawatan Presiden Indonesia  bagi menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.

Upacara pengisytiharan presiden baharu Indonesia yang berusia 53 tahun itu akan diadakan di Parlimen dan dihadiri tetamu di kalangan orang kenamaan asing termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.

Selesai upacara itu, Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi, akan menaiki kereta kuda untuk dibawa mengelilingi bandaraya ini sebelum perarakan itu berakhir di Istana Presiden.

Pengumuman barisan Kabinetnya membabitkan 33 menteri dijangka dibuat pada Selasa.

Keseluruhannya, lebih 20,000 anggota polis dan tentera diarah menjalankan tugas di seluruh pelusuk bandaraya ini bagi menjaga keamanan dan keselamatan sempena sambutan itu.

"Saat itu adalah detik bersejarah bagi rakyat Indonesia dan negara ini juga untuk mempunyai Jokowi sebagai presiden," kata penganalisis politik yang menganggotai kumpulan pemikir, Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa, Tobias Basuki.

Jokowi dianggap berhadapan situasi mencabar bagi mengetuai sebuah negara dengan jumlah penduduk seramai 250 juta di penempatan yang membabitkan lebih 17,000 pulau.

Bagaimanapun, keadaan semakin baik apabila pada Jumaat lalu, calon pilihan raya presiden yang tewas, Jeneral Prabowo Subianto mengadakan pertemuan dengan Joko buat pertama kalinya.

Lebih dianggap sebagai pusingan U dramatik apabila bekas jeneral itu mengisytiharkan sokongannya kepada kepemimpinan Joko.

"Saya menyampaikan kepada parti yang saya pimpin, rakan dan penyokong saya, supaya menyokong Jokowi dan kerajaannya," kata tokoh kontroversi itu.

Selain aspek politik, dalam usaha untuk melaksanakan pembaharuan maka bakal presiden itu juga perlu menggariskan langkah untuk  memulihkan ekonomi dan menambah baik kemudahan perubatan dan pendidikan di negara yang dibelenggu rasuah itu.





 

Artikel Sebelum

Kad Kredit Obama Tak Laku

Artikel Berikut

Artikel Lain