suria

Pemilu: Calon Gagal Hadapi Tekanan Termasuk Bunuh Diri

JAKARTA: Ramai calon yang gagal memperoleh undi terbanyak pada Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen 9 April lepas, mengalami tekanan selepas dilaporkan memberi segala yang ada termasuk wang peribadi, dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Laporan dari seluruh pelosok Indonesia baru-baru ini, menunjukkan sebanyak 6,600 calon yang merebut kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen, mengalami tekanan, kecenderungan menjadi gila, malah bertindak membunuh diri berikutan kerugian yang mereka alami.

Misalnya, agensi berita Antara melaporkan bahawa Muhammad Taufiq, 50, yang bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum itu, kecewa setelah mengetahui beliau tidak memperoleh undi mencukupi bagi menjamin tempatnya di DPR.

Ditemani rakannya, Muhammad Taufiq dikatakan pergi ke tempat mengundi di kawasan Cekocek di daerah Sampang, Madura, Jawa Timur, dan merampas peti undi ketika pegawai petugas pilihan raya sedang mengira undi.

Jurucakap polis, Ronny F. Sompie berkata calon terbabit dan rakannya mengambil peti undi tersebut dan membawa ke rumah saudaranya sebelum ditahan pegawai Jawatankuasa Penyeliaan Pilihan Raya (Panwaslu).

Selain itu, kekecewaan yang dihadapi calon juga dilaporkan di Tulungagung, Jawa Timur apabila calon daripada Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Miftahul Huda, telah menyumbangkan sejumlah wang bagi membina sebuah masjid. 

Miftahul menuntut agar masjid berkenaan memulangkan wangnya setelah mengetahui beliau gagal dalam pilihan raya tersebut selepas hanya memperoleh 29 undi dalam kawasannya di Kampung Majan.

Satu laporan tragis turut berlaku di Banjar, Jawa Barat apabila seorang ibu muda menggantung dirinya selepas kalah dalam pilihan raya umum berkenaan.

Penduduk tempatan menemui mayatnya tergantung di pohon buluh di perkampungan desa di Limusnunggal di daerah Ciamis, Jawa Barat.

Indonesia, negara ketiga di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi selepas India dan Amerika Syarikat, mengadakan Pemilu Parlimen 2014 bagi memilih 560 anggota parlimen dan lebih 18,000 anggota majlis tempatan.

Calon bagi kerusi majlis tempatan dikatakan membelanjakan sekurangnya-kurangnya Rupiah 100 juta (AS$8,761) dengan menggunakan wang simpanan peribadi dan menjual sebahagian besar aset, bagi menjayakan kempen mereka.

Pegawai psikologi, Tika Bisono berkata tekanan atau kemurungan dan masalah mental lain dalam kalangan calon yang kalah merupakan isu yang dijangka berlaku disebabkan kekurangan kriteria atau maklumat daripada parti-parti politik.

"Ternyata bahawa semua calon harus menyediakan sejumlah wang yang besar untuk menjadi calon, namun apabila mereka gagal, ada kemungkinan mereka akan menjadi tertekan," katanya kepada Jakarta Post, baru-baru ini.

Beliau berkata parti-parti politik perlu bertanggungjawab untuk membimbing calon masing-masing termasuk mengendalikan masalah jika mereka gagal dipilih sebagai wakil rakyat atau anggota majlis tempatan.

Tika berkata ada kalangan calon yang tertekan disebabkan tidak membuat persediaan secukupnya sebelum berkempen, menyebabkan mereka menggunakan wang simpanan mereka dalam usaha mendapatkan undi terbanyak.

"Saya berharap anggota keluarga calon yang tertekan ini memberi sokongan agar mereka kembali sembuh," katanya.

Artikel Lain