suria

Presiden Ukraine Ancam Guna Tentera Ambil Semula Wilayah Ditawan Kumpulan Pro-Rusia

KIEV: Presiden Ukraine pada Isnin mengancam akan mengerahkan gerakan tentera ke kawasan dan daerah yang kini ditawan oleh anggota-anggota militia yang pro-Rusia selepas kumpulan ini tidak mengendahkan altimatum yang diberikan agar meninggalkan bangunan-bangunan kerajaan dengan segera.

Presiden interim, Oleksander Turchinov berkata, pada masa yang sama kerajaan juga bercadang untuk mengadakan referendum mengenai masa depan negara dan langkah yang perlu mereka ambil terhadap tuntutan penduduk dari wilayah yang didominasi oleh etnik Rusia.

Arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan Ukraine kepada anggota-anggota militia yang menawan bangunan-bangunan kerajaan di timur negara itu telah pun berakhir tetapi tidak kelihatan seperti mereka mematahui arahan tersebut misalnya di Slaviansk, kumpulan militia masih tidak berganjak dari dua buah bangunan kerajaan yang mereka tawan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 100 anggota militia pro-Rusia dilaporkan telah menawan sebuah ibu pejabat polis di bandar Horlivka pada Isnin.

Di bandar Slaviansk, seorang kakitangan kerajaan telah terbunuh apabila anggota-anggota militia yang pro-Rusia merempuh masuk dan menawan bangunan kerajaan.

Turchinov kemudian dilaporkan memberi amaran terakhir kepada para pemberontak ini agar berundur keluar atau beliau akan menghantar pasukan anti pengganas ke kawasan itu untuk mengambil semula semua bangunan yang ditawan.

Amarannya itu mencetuskan kebimbangan yang bala tentera Rusia akan menyeberangi sempadan dan menawan seluruh wilayah timur Ukraine.

Rusia dengan bantuan anggota-anggota militia Crimea sebelum ini telah 'menawan' semenanjung itu dari tangan Ukraine dengan menerima masuk wialayah itu sebagai sebahagian dari wilayah Rusia dengan kuasa autonomi Mac lalu.

Majoriti penduduk Crimea adalah terdiri daripada etnik Rusia kerana sehingga 1954, wilayah itu adalah milik Rusia sebelum ia dihadiahkan kepada Ukraine kerana bersetuju menyertai Kesatuan Soviet.

Kumpulan militia yang merampas bangunan-bangunan kerajaan di timur Ukraine ini menegaskan yang sempadan yang memisahkan Ukraine, Rusia dan Belarus semuanya adalah palsu dan tugas mereka ialah untuk menghapuskan sempadanan ini semua.

Turchinov dan lain-lain pemimpin Eropah termasuk Amerika menyalahkan Rusia, yang mereka dakwa memberi semangat dan bantuan moral serta material untuk kumpulan militia ini memberontak di Slaviansk dan lain-lain bandar di timur Ukraine yang kebanyakan penduduknya bertutur dalam bahasa Rusia.

Katanya, kerajaan pusat Ukraine tidak ada masalah untuk mengadakan referendum sebagaimana yang dituntut oleh kumpulan pemisah dari timur Ukraine.

Turchinov berkata, referendum itu boleh dijalankan serentak dengan pilihan raya presiden yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mei.

Dalam reaksi segera, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menegaskan bahawa wilayah yang bertutur bahasa Rusia di timur Ukraine patut diberi hak untuk turut sama terlibat dalam menentukan butiran-butiran referendum yang bakal dijalankan itu.

Lavrov berkata, bukanlah menjadi keutamaan Rusia untuk melihat Ukraine berpecah belah tetapi apa yang Moscow ingin lihat ialah semua warganegara diberi layanan yang adil oleh Kiev.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatan ejen-ejen Rusia dalam mencetuskan kekacauan di timur Ukraine tetapi sebaliknya menuntut penjelasan mengapa Pengarah CIA, John Brennan, berada di Kiev.

Krisis yang melanda Ukraine dan Crimea telah meletakkan hubungan barat dengan Rusia ke tahap paling rendah dan berbahaya sejak berakhirnya Perang Dingin pada 1991.

Ukraine telah pun menegaskan yang mereka akan menghentikan pengimportan bekalan gas asli dari Rusia kerana harga yang dikenakan Rusia adalah terlalu tinggi.


Ukraine, Rusia, Slaviansk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain