suria

Tiga Terbunuh Dalam Insiden Tembak Di Kawasan Yahudi

Tempat di mana insiden tembakan itu berlaku di pinggir bandar Kansas City, Amerika Syarikat petang Ahad.

KANSAS CITY: Seorang lelaki bersenjatakan senapang patah telah melepaskan tembakan dan membunuh tiga orang awam pada Ahad di sebuah pusat masyarakat Yahudi di sini.

Suspek yang berjaya ditahan selepas kejadian itu adalah seorang lelaki berkulit putih dan berusia 70 tahun tetapi disahkan bukan orang tempatan.

Suspek juga telah disahkan tidak mengenali kesemua mangsanya, demikian kata Ketua Polis Overland Park, John Douglass.

Lelaki berjanggut itu kini turut disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Suspek sebelum itu kedengaran menjerit "Hidup Hitler" ketika polis menahannya.

Bagaimanapun Douglass enggan mengesahkan atau menafikannya.

Ejen Khas FBI, Michael Kaste berkata, pihak berkuasa kini sedang melihat sama ada kejadian itu berpunca daripada perasaan benci ke atas golongan tertentu.

Presiden Barack Obama turut mengecam tindakan tersebut dan menjanjikan siasatan yang menyeluruh.

Tembakan pertama dilepaskan oleh suspek di Pusat Kemasyarakat Yahudi di sini pada jam 1 tengah hari Ahad ketika para remaja sedang melakukan uji bakat untuk satu pementasan.

CNN melaporkan yang suspek terlebih dahulu bertanya kepada mangsanya sama ada mereka Yahudi atau bukan sebelum melepaskan tembakan. Kejadian itu berlaku di tempat meletak kereta pusat berkenaan.

Dia dilaporkan telah membunuh dua orang mangsa di pusat berkenaan sebelum memandu ke sebuah pusat orang-orang tua yang mendapat bantuan masyarakat Yahudi dan melepaskan tembakan ke arah seorang wanita tua berusia 70an.

Suspek juga melepaskan dua das tembakan ke arah dua orang lagi tetapi tidak mengenai sasaran.

Menurut FBI, hampir dua pertiga jenayah anti-agama di Amerika Syarikat disasarkan kepada masyarakat Yahudi.

Sejumlah 674 insiden berlaku pada 2012 sahaja demikian menurut data FBI.

Majlis Perhubungan Islam-Amerika sebuah pertubuhan Muslim Amerika yang berpengaruh mengeluarkan kenyataan menyatakan simpati mereka kepada apa yang telah terjadi di Pusat Komuniti Yahudi itu.

Kansas City, Amerika Syarikat, FBI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Maraton Dengan Kostum Pelik

Artikel Lain