suria

Pensyarah Universiti Di Yogyakarta Letak Jawatan Didakwa Ciplak Artikel

JAKARTA: Anggito Abimanyu, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Gadjah Mada (UGM), membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan sebagai pendidik di universiti itu selepas didakwa terbabit aktiviti plagiat.

Anggito yang juga Ketua Pengarah Penyelenggaraan Haji dan Umrah di Kementerian Agama Indonesia membuat keputusan itu kerana mahu memelihara integriti UGM, yang merupakan universiti terkemuka di Yogyakarta.

"Bagi mempertahan kredibiliti UGM yang mementingkan nilai kejujuran, integriti dan tanggungjawab akademik, saya membuat keputusan berundur sebagai pensyarah," kata Anggito dalam sidang media di UGM, Isnin.

Anggito berkata beliau meletak jawatan sebagai pensyarah di UGM selepas artikel tulisannya bertajuk 'Gagasan Asuransi Bencana' di akhbar nasional, Kompas pada 10 Feb lepas, mencetus kontroversi kerana didakwa diplagiat.

Beliau turut mengakui melakukan kesalahan ketika menghasilkan artikel itu dengan memasukkan idea asal penulis lain.

"Saya memetik rujukan yang diambil dalam sebuah fail di komputer peribadi saya yang akhirnya diketahui merupakan kertas kerja yang ditulis Hotbonar Sinaga dan Munawar Kasan," katanya yang sudah 25 tahun berkhidmat dengan UGM.

Anggito turut melahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada seluruh pendidik khususnya di universiti berkenaan berikutan tindakannya itu.

"Saya mengaku khilaf dan memohon maaf khususnya kepada saudara Hotbonar Sinaga dan Munawar Kasan," katanya.

Rektor UGM Praktikno berkata walaupun Anggito sudah mengemukakan permohonan meletakkan jawatan, perkara itu belum dianggap rasmi kerana ia perlu dibawa ke peringkat senat.

Praktikno berkata dewan senat dan jawatankuasa etika UGM akan mengambil masa tiga bulan bagi menentukan sejauh mana kebenaran Anggito melakukan tindakan plagiat itu.

Dakwaan plagiarisme terhadap Anggito dikemukakan seorang penulis yang menggunakan nama profil Penulis UGM di blog Kompasiana portal berita Kompas.com.

Penulis UGM itu mendakwa sebahagian besar fakta dalam artikel tulisan Anggito itu diciplak daripada tulisan bersama Hotbonar Sinaga dan Munawar Kasan berjudul 'Menggagas Asuransi Bencana' yang disiarkan akhbar Kompas edisi 21 Julai 2006. - BERNAMA

Artikel Lain