suria

Empat Wanita Terbunuh Dalam Serangan Berani Mati Di Pakistan

PESHAWAR (Pakistan): Serangan seorang pengebom berani mati menyebabkan empat wanita terbunuh di barat laut Pakistan pada Isnin, dalam satu cubaan serangan terhadap orang ramai yang menghadiri upacara pengebumian, kata polis.

Serangan itu berlaku di sebuah rumah di Peshawar, di sebuah bandar di Pakistan, di mana orang ramai sedang mengadakan upacara pengebumian, kata pegawai kanan polis, Najeeb Ur Rehman kepada AFP.

Menurut Rehman, mereka yang berada di upacara itu mengesan tiga individu yang merupakan pengebom berani mati yang datang ke arah mereka tetapi berjaya dihalang.

Rehman berkata, dua daripada mereka melarikan diri, manakala seorang lagi memasuki sebuah rumah berdekatan yang tidak berhubung dengan tempat upacara pengebumian, dan kemudiannya meletupkan dirinya sendiri di pintu masuk.

"Empat wanita terbunuh dan enam orang cedera dalam serangan itu," katanya.

Ketua Unit Penghapus Bom Peshawar, Shafqat Malik mengesahkan serangan berani mati itu dan memberitahu AFP bahawa pengebom itu menggunakan bahan letupan kira-kira enam kilogram pada bajunya ketika kejadian. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain