suria

Monorel Mumbai Letak Standard Baru Untuk Pengangkutan Bandar India

NEW DELHI: Monorel Mumbai oleh Scomi Engineering Bhd, yang pertama di India telah dibuka kepada orang ramai.

Projek itu meningkatkan lagi sistem pengangkutan di bandar raya kewangan negara itu ke tahap lebih tinggi berbanding bandar raya lain.

"Ia adalah saat yang sangat membanggakan kami melihat kejayaan perasmian projek Monorel Mumbai," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kanesan Velupillai.

Menurutnya, melalui detik bersejarah itu, Scomi telah meletakkan standard dan sejarah baharu dalam sistem pengangkutan monorel serta sistem pengangkutan bandar.

Fasa pertama, laluan sepanjang 8.9 kilometer dari Wadala ke Chembur, dirasmikan Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Prithviraj Chavan dan Timbalan Ketua Menteri, Ajit Pawar pada 1 Feb 2014, kata satu kenyataan daripada Scomi.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada 2 Februari 2014, Monorel Mumbai menerima sambutan hangat, mengangkut kira-kira 40,000 penumpang dalam tempoh dua hari pertama ia beroperasi.

Sambutan dan minat orang ramai amat penting untuk pembangunan pengangkutan awam moden di Mumbai.

Orang ramai mengalu-alukan sistem baharu itu dengan penuh minat dan permintaan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Kami memulakan pembinaan sistem monorel pertama India ini pada 2009 dan selepas kerja keras pasukan Scomi di India dan Malaysia serta pemegang saham, kami gembira untuk menyaksikan perasmian perkhidmatan ini," katanya.

Di samping itu, Scomi juga bangga untuk menceburi skop baharu operasi dan penyelenggaraan.

Scomi telah membuktikan kebolehannya sebagai penyedia penyelesaian bersepadu untuk reka bentuk, bina, uji, tauliah, operasi dan selenggara monorel dan sistem kereta api.

"Sebagai projek monorel India pertama, kami percaya ia akan membuka laluan kepada lebih banyak projek bagi memenuhi keperluan kemudahan asas negara itu," kata Kanesan.

Bandar raya lain yang sedang melaksanakan sistem monorel ialah di negeri Tamil Nadu dan Kerala.

Scomi memperolehi projek Monorel Mumbai bernilai RM1.8 bilion itu pada November 2008.

Pada Januari lalu, Scomi juga menghantar set kereta api empat-koc pertama untuk projek pembesaran monorel Kuala Lumpur.

Di bawah projek bernilai RM494 juta itu, Scomi akan membekalkan 12 set empat-koc kereta api dan sebuah depoh, menaik taraf stesen, isyarat, bekalan tenaga dan sistem rel lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain