suria

Menteri India Disoal Tentang Hubungannya Dengan Wartawan Pakistan

Shashi Tharoor
Shashi Tharoor
Shashi Tharoor

NEW DELHI: Shashi Tharoor, menteri terkemuka India yang hadir di hadapan majistret pada Ahad petang semasa berlangsungnya inkues berkaitan kematian isterinya, ditanya tentang hubungan beliau dengan wartawan Pakistan, menurut laporan akhbar.

Ketika kenyataannya dirakamkan kira-kira sejam, majistret Alok Sharma bertanya Tharoor tentang pertengkaran yang dikatakan berlaku antara beliau dan isterinya Sunanda Pushkar, sebelum wanita itu ditemui mati pada usia 52 tahun selain hubungannya dengan wartawan Pakistan Mehr Tarar.

"Tharoor mengakui beliau mengenali Tarar dan mempunyai 'hubungan baik' dengannya tetapi tidak menyatakan dengan jelas bentuk hubungan itu," akhbar The Times of India melaporkan dengan memetik sumber yang tidak dinamakan.

Majistret itu turut merekod secara harfiah kenyataan wartawan televisyen Nalini Singh, yang bercakap dengan Sunanda pada malam sebelum kematiannya, menurut laporan itu.

Kesemuanya kenyataan lapan orang direkodkan, termasuk saudara lelaki Sunanda, Kolonel Rajesh, anak lelakinya Shiv, pembantu peribadi Tharoor, R K Sharma dan dua penolong, Narain serta Bajrangi.

Sementara itu, Tharoor meminta Menteri Dalam Negeri Sushilkumar Shinde supaya siasatan kes itu dipercepatkan agar kebenaran akhirnya ditemukan. Kata Tharoor beliau 'terkejut besar' apabila membaca laporan media berkaitan Sunanda.

"Dalam masa sedang berkabung, saya akhirnya berpeluang membaca laporan akhbar dan saya terkejut besar apabila membaca spekulasi yang dibuat dengan sewenang-wenangnya.

"Saya merayu anda mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan supaya menyegerakan siasatan agar kebenaran terserlah secepat mungkin," kata menteri pembangunan sumber manusia berusia 57 tahun itu.

Antara lain, akhbar itu melaporkan sumber itu menyebut Tharoor turut disoal tentang pertengkaran yang didakwa berlaku antara beliau dan Sunanda susulan perdebatan hangat dalam Twitter melibatkan Tarar.

Beliau ditanya tentang pertengkaran pasangan itu yang turut disaksikan Menteri Penerangan dan Penyiaran Manish Tewari.

Polis belum memulakan siasatan rasmi kematian itu memandangkan mereka masih menunggu laporan majistret. Mereka turut menyoal beberapa orang di tempat kejadian dan mengumpul bukti.

Dalam laporan awalnya, doktor berkata kematian Sunanda adalah 'mati mengejut dan secara di luar tabii'. Pasukan autopsi, yang melakukan bedah siasat ke atas mayatnya, turut menemui beberapa kecederaan fizikal.

Ketika spekulasi tersebar luas bahawa Sunanda mungkin menggunakan anti-depresan dalam dos berlebihan atau mungkin membunuh diri setelah tidak keruan berikutan penyakit dan pergolakan dalam kehidupan peribadi, Tharoor akan menjadi penghubung yang sangat penting kepada sebarang siasatan berhubung perkara itu.

Pasangan berprofil tinggi itu berkahwin pada penghujung 2010, perkahwinan ketiga bagi mereka berdua. BERNAMA

Artikel Lain