suria

Ini wajah anggota keselamatan ‘sambut’ lelaki terjun dari tingkat atas Masjidil Haram... Keadaan stabil, alami patah tulang

Al-Asiri dikhabarkan mengalami patah tulang ketika cuba menyelamatkan seorang lelaki yang membahayakan diri di Masjidil Haram, Khamis lalu.

IDENTITI anggota keselamatan yang cedera ketika menyelamatkan seorang jemaah terjun dari tingkat atas Masjidil Haram di Makkah, akhirnya didedahkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. 

Anggota berkenaan, Rayan bin Saeed Al-Asiri, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan Khaleej Times, Al-Asiri mengalami patah tulang ketika cuba menyelamatkan seorang lelaki yang terlibat dalam percubaan membahayakan diri di kawasan masjid tersebut.

Sebuah gambar yang menunjukkan Al-Asiri sedang berehat di atas katil hospital dikongsi menerusi akaun Inside the Haramain di platform X.

Perkongsian itu disertakan dengan kapsyen, Semoga Allah menerima usahanya dan memberikannya kesembuhan yang cepat.

Ketika menerima rawatan, Al-Asiri turut mendapat panggilan telefon daripada Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif.

Dalam perbualan tersebut, Putera Abdulaziz bertanyakan keadaan kesihatannya serta menyampaikan penghargaan atas tindakan berani yang diambilnya.

Putera Abdulaziz turut menyifatkan tindakan Al-Asiri sebagai satu pendirian yang berperikemanusiaan dan mulia, melambangkan pengorbanan serta sikap tidak mementingkan diri yang tinggi, dan bukan sekadar melaksanakan tugas rasmi semata-mata.

Menurut beliau lagi, tindakan tersebut mencerminkan nilai-nilai murni yang dipegang oleh anggota keselamatan Arab Saudi dalam berkhidmat kepada agama dan negara, selain menunjukkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan profesional tinggi dalam menangani situasi kecemasan di Masjidil Haram.

Panggilan itu diakhiri dengan doa agar Al-Asiri dapat kembali bertugas untuk terus berkhidmat kepada para jemaah dan pengunjung Masjidil Haram.

Setakat ini, pihak berkuasa Saudi belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai individu yang terlibat dalam insiden tersebut.

Namun, mereka menegaskan bahawa tahap keselamatan di Masjidil Haram sentiasa dipantau rapi, dengan pasukan keselamatan khusus yang terlatih untuk bertindak pantas menghadapi sebarang kecemasan di lokasi suci umat Islam itu. -Agensi

Artikel Lain