suria

Suthep Jamin Lapangan Terbang, Bank & Pasaran Saham Terus Beroperasi Isnin Depan

BANGKOK: Enjin ekonomi penting Thailand lapangan terbang, institusi kewangan dan pasaran saham akan terus dibuka semasa "Penutupan Bangkok" yang bermula Isnin.

"Kami tidak akan menutup lapangan terbang (Suvarnbhumi dan Don Mueang), Bursa saham, Bank of Thailand dan bank-bank komersil," kata pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban.

Dalam ucapan kepada penyokongnya semalam, beliau berkata kumpulan itu juga tidak akan menghalang operasi pengangkutan awam seperti tren, bas dan pelabuhan.

Beliau berkata PDRC hanya akan menyekat tujuh kawasan pusat di Bangkok seperti yang diumumkan sebelum ini, dalam usaha untuk memaksa peletakan jawatan kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Namun, beliau menasihatkan penjawat awam supaya bercuti dan tidak kembali bekerja pada Isnin kerana mereka tidak dibenarkan memasuki pejabat berikutan pemberontak dan menduduki pejabat kementerian dan pejabat kerajaan yang lain pada hari berkenaan.

Dan, penutupan itu dijangka menyebabkan kerugian ekonomi berbilion baht, dengan anggaran 40 bilion baht, bergantung tempoh gangguan itu yang akan menjejaskan fungsi pentadbiran kerajaan.

Suthep tidak menyatakan tempoh "penutupan Bangkok" namun majoriti menjangkakan ia lebih dari sehari, dengan jangkaan penutupan untuk tempoh beberapa hari sehingga hari pengundian pilihan raya umum pada 2 Februari, dan berkemungkinan juga lebih lama lagi.

Kawasan tumpuan penyokong PDRC berhimpun pada Isnin ialah Victory Monument (pusat bas), Ratchaprasong (kawasan protes Baju Merah yang juga pro-Thaksin Shinawatra 2010), Asok (pusat pelancongan dan perniagaan di Sukhumvit Road) dan Pratumwan (pusat perniagaan, dekat Siam Paragon, MBK, pusat membeli-belah yang popular dalam kalangan pelancong asing).

Kawasan lain ialah Chaengvatta (kompleks kerajaan), Lumpini (kawasan pelancongan dekat Silom Road) dan persimpangan lima jalan di Lat Phrao (dekat pasar hujung minggu).

Khamis adalah hari yang sibuk untuk Suthep dan penyokongnya yang berarak sejauh 11 km selama 11 jam (bermula dari pukul 9 pagi) di sepanjang jalan raya di barat Bangkok dari tempat perhimpunan utama mereka di Victory Monument di Ratchadumnoen Avenue untuk menyeru rakyat menyertai perhimpunan untuk menutup Bangkok pada Isnin.

Ia adalah perhimpunan paling lama dan terakhir kumpulan itu sebelum penutupan pada Isnin .

Pada waktu malam, beliau membuat ucapan di tapak perhimpunan di Victory Monument.

Tiga perhimpunan bagi mengumpul sokongan, pada 5, 7 dan 9 Januari juga menyaksikan PDRC memperoleh sokongan padu di ibu negara apabila ribuan penyokong memberi berjuta-juta baht untuk tujuan itu, kubu kuat bagi mereka yang menentang bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Pada 5 dan 7 Januari, kumpulan itu masing-masing mengumpul 1.7 juta baht dan 2.5 juta baht, daripada orang ramai, dan semalam ia dijangka mencatat rekod sebagai perarakan paling lama.

Mereka mengumpul wang tunai dalam sekurang-kurangnya 15 beg plastik di sepanjang jalan di barat Bangkok yang menyaksikan ramai penyokong menghukur tangan menyerahkan baht kepada Suthep.

Penduduk Bangkok jelas berbelah-bahagi, dengan sebahagiannya tidak sabar-sabar untuk mengambil bahagian dalam penutupan itu dan berharap dapat memaksa Yingluck meletak jawatan.

Sebahagian lagi pula bimbang mengenai keganasan yang mungkin berlaku, kemungkinan rampasan kuasa tentera (yang dinafikan oleh tentera), kesan negatif ke atas perniagaan dan gangguan kepada kehidupan harian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain