suria

Rakyat Thailand Sambut Hari Peringati Raja Chulalongkorn

BANGKOK: Hari ini (Rabu_) cuti umum di Thailand bersempena hari memperingati King Rama V atau Raja Chulalongkorn, raja yang amat dikasihi rakyat negara ini.

Raja Chulalongkorn disanjung tinggi kerana jasa baginda dalam memperkenalkan perubahan penting di Thailand termasuk berkaitan sistem pendidikan, hal-ehwal ketenteraan dan perkhidmatan kereta api serta penghapusan amalan perhambaan.

Pegawai kerajaan dan rakyat di seluruh negara memperingati jasa raja yang amat mereka kagumi ini dengan memberi penghormatan kepada patung atau potret baginda dalam upacara khas.

Untuk seketika, rakyat negara ini mengetepikan hal politik seperti yang dipamerkan anggota 'People's Army Against Thaksin Regime' apabila mereka berhimpun secara aman di Royal Plaza di sini untuk memberi penghormatan kepada patung King Rama V.

Mereka mula berkumpul pada 10.30 pagi, manakala pihak berkuasa tidak membuat sebarang sekatan di sepanjang laluan kumpulan itu hingga ke tempat mereka berhimpun yang terletak berhampiran bangunan Parlimen Thailand dan Rumah Kerajaan.

Ini merupakan perhimpunan pertama kumpulan penentang Thaksin itu sejak mereka mengubah lokasi mangadakan bantahan ke persimpangan Uropong kira-kira 2km dari Rumah Kerajaan awal bulan ini.

Selepas perhimpunan itu, mereka kembali ke persimpangan Urupong untuk meneruskan bantahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain