suria

Pelancongan Malaysia Menang Anugerah Pondok Terbaik

BANGKOK: Pelancongan Malaysia Pejabat Thailand memenangi Anugerah Pondok Pameran Terbaik di Pameran Pelancongan Antarabangsa Thai ke-12, di sini.

Naib Presiden Persatuan Agen Pelancongan Thai bagi Aktiviti, Kriangphon Piyaekchai menyampaikan anugerah itu kepada Pengarah Pelancongan Malaysia Pejabat Thailand Iskandar Mirza Mohd Yusof, baru-baru ini.

Reka bentuk pondok Pelancongan Malaysia diilhamkan dari senibina masjid dengan bunga raya merah dan lukisan emblem bunga Malaysia, menurut kenyataan Pelancongan Malaysia.

Bumbung dibentuk sebagai "songkok" dengan foto-foto destinasi utama dan produk pelancongan seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, beli belah, taman tema dan makanan, menjadikannya pondok paling menonjol di kalangan organisasi pelancongan nasional.

Dalam usaha menarik rakyat Thai berkunjung ke Malaysia terutama semasa kempen Tahun Melawat Malaysia 2014, Pelancongan Malaysia telah mengundang kumpulan muzik Aswara mengadakan persembahan harian di pentas utama semasa pameran empat hari itu bermula 14 Februari.

Pelancongan Malaysia juga mempromosi Legoland Malaysia dan Taman Tema Keluarga Pelabuhan Puteri di Nusajaya.

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada mereka dari organisasi pelancongan kebangsaan, syarikat penerbangan, agen pelancongan, hotel dan resort menyertai acara tahunan itu. - BERNAMA

Artikel Lain