suria

12 Bulan Untuk Malaysia, Singapura Putuskan Pilihan Hubungan RTS

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura mempunyai masa sehingga 12 bulan untuk memutuskan pilihan keutamaan bagi Hubungan Sistem Aliran Pantas (RTS) antara Singapura dan Johor Bahru, susulan Kaji Selidik Kejuruteraan Bersama (JES).

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata fasa pertama JES bagi mengenal pasti pilihan skim penjajaran dan stesen bagi RTS telah selesai pada November tahun lepas.

"Para pegawai dari kedua-dua negara sedang memuktamadkan kajian laporan akhir," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin, bersempena dengan sesi Pemukiman Pemimpin (Malaysia-Singapura) 2013.

Sesi pemukiman dua hari itu yang bermula hari ini, disertai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong, dengan RTS menjadi antara topik utama perbincangan mereka.

Menurut beberapa laporan, bergantung kepada hasil kaji selidik JES, hubungan RTS mungkin membabitkan kereta api melalui jalan darat atau menerusi terowong bawah laut.

RTS juga merupakan antara tumpuan utama kemajuan pelaksanaan Titik Perjanjian (POA), yang dicapai antara kedua-dua pemimpin dalam pertemuan mereka pada 5 Jan di Putrajaya tahun lepas, serta Kenyataan Bersama Para Pemimpin pada 24 Mei, 2010.

Anifah berkata, perkara lain yang dibincangkan di bawah POA ialah Projek Pembangunan M+S di Marina Bay dan Ophir-Rochor dan Pembangunan Pulau Indah Ventures bagi projek Urban Wellness dan Resort Wellness di Iskandar Malaysia.

Beliau berkata pelaburan bersama dalam MS+ Pte Ltd - usaha sama antara Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings Pte Ltd - berjalan lancar.

Pada tengah hari esok, Najib dan Lee akan menyaksikan pelancaran model bagi projek Marina One di Marina Bay.

"Pelaburan 50:50 di Pulau Indah Ventures ialah bagi pembangunan projek Urban Wellness seluas lima ekar di Medini North dan projek Resort Wellness seluas 210 ekar di Medini Central, kedua-duanya di Iskandar Malaysia.

"Kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan pelancaran pembangunan Urban Wellness dan melancarkan secara rasmi upacara pecah tanahnya," katanya.

Anifah berkata kedua-dua perdana menteri itu juga akan membincangkan tentang kemajuan kerjasama di bawah Jawatankuasa Bersama Menteri-Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM).

Beliau berkata Najib dan Lee akan mengambil kira kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dibincangkan semasa mesyuarat lepas.

Ini termasuk kerjasama dalam penerbangan dan perkhidmatan lapangan terbang antara Lapangan Terbang Senai dan Lapangan Terbang Changi, penyelarasan Pelan Spektrum Frekuensi Radio, kerjasama dalam pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional dan penubuhan perkhidmatan feri dan teksi air antara Puteri Harbour di Iskandar Malaysia dan Tuas di Singapura.

Kedua-dua Najib dan Lee juga dijangka meneroka inisiatif baharu bagi meningkatkan kerjasama dua hala seterusnya antara Malaysia dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain