suria

Filem Terbaru Tamil "Perlekeh" Minyak Sawit

NEW DELHI: "Saguni," filem Tamil yang baru ditayangkan, yang tajuknya membawa maksud seseorang yang menggunakan taktik licik untuk kepentingan dirinya, turut "memperlekehkan" minyak sawit, yang mencatatkan peratusan tertinggi penggunaannya dalam pasaran minyak masak India.

Filem bercorak sindiran politik itu diarahkan oleh Shankar Dhayal dan dibintangi aktor Karthi Sivakumar dan pelawak terkenal Santhanam.

Satu daripada adegan dalam filem itu menunjukkan Karthi mahu membeli "bajji," sejenis pisang goreng, tetapi Santhanam cuba menghalangnya dengan berkata, "Adakah anda mahu membeli itu? Ia digoreng dengan minyak sawit."

Mimik muka Santhanam turut mencerminkan tanda "memperlekehkan" minyak sawit, sering kali dianggap sebagai "minyak masak golongan rakyat biasa" kerana kerajaan menggunakan minyak sawit untuk skim hidangan tengah hari bersubsidi dan minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan untuk isi rumah di bawah garis kemiskinan.

Minyak sawit mencatatkan penjualan tertinggi di India, iaitu sebanyak 42 peratus daripada penggunaan minyak masak negara khususnya dalam segmen pasaran produk import.

Kelebihan minyak sawit ialah daripada segi harganya berbanding minyak masak lain, kadar penggunaan semulanya dan tahap panas pada 235 darjah Celsius, tahap suhu yang berupaya mengeluarkan asap kebiruan.

India menggunakan kira-kira 16 juta tan minyak masak setahun dan 54 peratus daripadanya diimport.

Minyak sawit turut menjadi pilihan di selatan India, menyumbang kepada kira-kira 70 peratus penggunaannya di negeri seperti Karnataka, Tamil Nadu, Andhra Pradesh dan Kerala, dan di pesisiran timur India di negeri seperti Bengal Barat dan Orissa.

Malaysia dan Indonesia merupakan dua pembekal utama minyak sawit dan kedua-dua negara mendominasi 89 peratus eksport minyak masak global.

Filem-filem Tamil bukan sahaja ditonton di Tamil Nadu tetapi juga di negeri-negeri di selatan.

"Saguni", juga dialih bahasa ke bahasa Malayalam dan Telugu, mula ditayangkan di peringkat global pada 22 Jun. Sebilangan rakyat Malaysia yang telah menonton filem Tamil itu melahirkan rasa terkejut dengan gambaran negatif yang dipaparkan terhadap satu daripada eksport utama Malaysia itu. - BERNAMA

Artikel Lain