MELBOURNE: Ketua Eksekutif Qantas Alan Joyce berkata kos perjalanan udara telah turun dengan ketara dalam tempoh 70 tahun lepas berikutan teknologi yang bertambah baik dan penggunaan pesawat baharu yang inovatif oleh syarikat penerbangan seperti Airbus A380. "(Pada 1935) kos penerbangan sama dengan jumlah 122 minggu gaji pekerja biasa, pada 1960 tambang udara turun kepada 20 minggu gaji pekerja biasa, dan dengan penggunaan A380 ia semakin turun kepada seminggu gaji pekerja biasa," kata Joyce kepada Dewan Perniagaan Australia-Israel di Sydney. "Hayat panjang usia Qantas selama 92 tahun adalah kerana kami terus (memperkenalkan) inovasi produk dan perubahan produk," Australian Associated Press memetik Joyce sebagai berkata.Lebih ramai orang Australia mengambil kesempatan daripada kekukuhan dolar Australia dan berkunjung ke luar negara, terutamanya menggunakan syarikat penerbangan kos rendah seperti Jetstar, kata Joyce."Semasa kami menubuhkan Jetstar pada 2004, sekali lagi ia merupakan satu lagi inovasi baharu kerana kami boleh melihat ia adalah aliran yang dituju pasaran."Sepuluh peratus daripada pelanggan Jetstar tidak pernah terbang sebelum ini, oleh itu ia adalah pasaran yang betul-betul baharu," katanya. -BERNAMA