suria

Siasatan Aircel-Maxis: CBI Minta Bantuan Malaysia

NEW DELHI: Mahkamah Khas Biro Siasatan Pusat India (CBI) telah mengeluarkan surat permintaan kepada pihak berkuasa kehakiman di empat negara bagi memohon butiran menjejaki aliran wang dalam urusan Aircel-Maxis.

Permohonan itu dibuat atas permintaan CBI yang menyiasat bekas menteri telekomunikasi India Dayanidhi Maran yang dituduh dalam konspirasi jenayah membabitkan urusan telekomunikasi Maxis dan Aircel.

Minggu lepas, mahkamah khas di Patiala House mengeluarkan Surat Rogatari (LR) kepada United Kingdom, Bermuda, Malaysia dan Mauritius bagi memohon keterangan, dokumen atau bukti berhubung kes itu.

CBI telah mendakwa Dayanidhi menerima wang sogokan daripada syarikat telekomunikasi Malaysia, Maxis, menurut sumber yang dipetik oleh agensi berita India, Press Trust of India (PTI).

Surat LR adalah percubaan CBI untuk mendapatkan butiran transaksi kewangan dari empat negara tersebut yang boleh membantu mentafsirkan jumlah pergerakan wang yang terbabit dalam kes itu, menurut sumber.

Sumber itu berkata siasatan CBI telah membawa ke Bermuda di kepulauan Caribbean dan United Kingdom yang mana wang sogokan itu didakwa disalurkan kepada syarikat-syarikat India.

Sebelum ini, agensi siasatan itu hanya tertumpu kepada Malaysia dan Mauritius berhubung penghantaran wang dalam pengambilan Aircel oleh Maxis, kata PTI. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gempa Bumi Kuat Landa Chile

Artikel Lain