suria

Peguam Dr Conrad Murray Mohon Diberi Tempoh Percubaan

LOS ANGELES: Peguam kepada Doktor Conrad Murray yang didapati bersalah membunuh raja pop, Michael Jackson tanpa niat memohon agar anak guamnya diberikan tempoh percubaan, sementara pihak pendakwaan mendesak hukuman penjara selama empat tahun dijatuhkan.

Berdasarkan memorandum hukuman yang difailkan pada Rabu, David Walgren yang mewakili Pihak Pendakwa Raya berkata, Murray tidak menunjukkan kekesalannya terhadap kematian penyanyi lagu Thriller itu dan cuba meletakkan kesalahan itu kepada orang lain.

Bagaimanapun, peguam bela doktor terbabit, Nareg Gourjian yang merujuk kepada beberapa surat pujian daripada bekas pesakit anak guamnya merayu agar diberikan hukuman tempoh percubaan dan khidmat masyarakat dalam bidang perubatan.

kedua-dua memorandum tersebut difailkan di hadapan Hakim Michael Pastor lebih awal daripada hari hukuman akan dijatuhkan, iaitu pada Selasa.

Murray, 58, disabitkan bersalah pada 7 November lalu selepas dibicarakan selama enam minggu.

Dia kemudiannnya dibawa keluar dari mahkamah dengan tangan bergari selepas juri di Los Angeles mencapai keputusan tersebut sebulat suara.

Berpuluh-puluh peminat Jackson yang berada di luar bangunan mahkamah bersorak setelah mendengar keputusan tersebut malah ada yang menangis.

Murray mengaku tidak bersalah memberi penyanyi tersebut ubat anestetik propofol yang kuat, ubat yang selalunya digunakan dalam pembedahan dan ia dikatakan punca utama kematian penyanyi itu pada usia 50 tahun. Pihak pendakwa raya mempertikaikan kecuaian Murray dalam memberi propofol kepada Jackson bagi membantunya tidur. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain