Pengeluaran Garam India Mungkin Merosot

NEW DELHI: India, pengeluar garam ketiga terbesar dunia mungkin berdepan kekangan pengeluaran berikutan musim monsun tidak menentu dan pengurangan tanah untuk menghasilkan komoditi itu.

India menghasilkan hampir 20 juta tonne, selepas China sebanyak 60 juta tonne dan Amerika Syarikat 46 juta tonne.

"Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang pengeluaran mungkin berkurangan, tidak cukup tanah untuk menghasilkan garam kerana banyak negeri mengambil balik tanah bagi pembangunan pelabuhan (laut).

"Penurunan dijangkakan sebanyak 10 hingga 20 peratus," kata presiden Persatuan Pengeluar Garam India Hiralal Parakh kepada Bernama dari Gandhidham, kota garam India di Gujarat.

Garam laut dihasilkan kebanyakannya di negeri-negeri pesisiran pantai seperti Andhra Pradesh, Gujarat, Karanataka, Maharashtra, Orissa, West Bengal dan Tamil Nadu.

Tahun lepas, India mengeksport kira-kira tiga juta tonne garam ke Indonesia (pengimport utama), Jepun, Malaysia dan Filipina, di mana ia digunakan dalam industri kimia, bagi penggunaan makanan manusia dan dalam proses mencairkan ais.

Monsun yang berterusan tahun ini di wilayah yang menghasilkan garam juga dijangka menjejaskan pengeluaran yang seterusnya memberi kesan kepada eksport apabila hujan lebat mencairkan telaga garam dan membanjiri kawasan pengeluaran garam.

"Eksport garam kami mungkin jatuh hampir 30 peratus disebabkan monsun yang berterusan (sehingga September) tahun ini.

"Kekurangan tanah dan peningkatan harga tanah menjejaskan pengeluaran," kata setiausaha Persatuan Pengeluar Garam Kecil-Kecilan Tuticorin A.R.A.S. Dhanabalan Selepas Gujarat, Tamil Nadu merupakan negeri pengeluaran garam kedua terbesar di India. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh Terbunuh Bom Meletup Di Iraq

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain