suria

Filipina Hantar Pulang 67 Warga China Dalam Kes Penipuan Internet

MANILA: Pihak berkuasa Filipina menghantar pulang 67 orang warga China yang didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah antarabangsa yang pakar dalam penipuan kad kredit dalam talian, biro imigresen berkata pada Rabu.

Kesemua warga China tersebut telah ditahan minggu lalu oleh anggota imigresen yang menyerbu dua buah rumah di Manila yang menjadi markas operasi kumpulan tersebut, kata ketua biro penyiasatan, Arvin Santos.

"Mereka beroperasi seperti ejen call centre dan menghubungi mangsa di China dan Taiwan dan kemudian meyakinkan mangsa untuk membeli pelbagai barangan dan perkhidmatan dengan membayar menggunakan kad kredit secara dalam talian," Santos berkata dalam satu kenyataan.

"Apabila duit tersebut diterima, mereka memindahkan wang tersebut kepada akaun bank sindiket."

Santos berkata kedutaan China di Filipina memberi maklumat kepada pihak berkuasa tempatan tentang sindiket itu, yang katanya telah merekrut 67 ahli dengan menjanjikan peluang pekerjaan dengan gaji tinggi di Manila.

Kesemua 67 suspek dihantar pulang ke Beijing pada minggu lepas menaiki kapal terbang, kata Santos. -AFP

Artikel Sebelum

Tembakan Di Kuari: Dua Maut

Artikel Berikut

Artikel Lain