suria

Jalinan Kerjasama Negara Luar, Fokus Utama Malaysia Di MIPCOM 2011

CANNES: Malaysia kini bergerak selangkah ke depan dalam usaha memartabatkan industri kreatif negara dengan memberi fokus kepada jalinan kerjasama dengan syarikat produksi negara luar dalam kegiatan penerbitan kandungan industri kreatif serta penjualan produk industri kreatif Malaysia ke pasaran global.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata sudah tiba masanya untuk negara ini tidak lagi terlalu bergantung kepada pembelian bahan-bahan kreatif industri kandungan dari negara luar.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu semua pemain di dalam industri termasuk stesen televisyen perlu memainkan peranan masing-masing.

"Tumpuan kini adalah untuk menghasilkan filem produk-produk industri kreatif yang bermutu dengan kerjasama penerbit luar negara yang terkemuka dan penerbitan harta intelek untuk pasaran dunia.

"Kerajaan dalam masa yang sama melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MDEC (Perbadanan Pembangunan Multimedia) dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia) akan menjadi pemudah cara dalam usaha ini," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Kamaruddin yang mengetuai delegasi Malaysia di Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia 2011 (MIPCOM 2011), berkata demikian selepas pertemuan dengan Presiden Reed MIDEM Paul Zilk yang merupakan penganjur acara itu.

Dalam pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pembangunan Media Singapura (MDA) Aubeck Kam, Kamaruddin berkata usaha-usaha untuk mewujudkan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara yang telah dimulakan MDEC akan diteruskan.

Melalui perjanjian dua hala ini, syarikat Malaysia dan Singapura boleh menjalin kerjasama produksi dalam bidang animasi, drama, cereka, dokumentari dan kandungan multimedia yang lain dan akan dibantu kerajaan masing-masing.

Perbincangan bagi perjanjian ini akan diadakan dengan lebih lanjut dengan Singapura semasa Asia Television Forum (ATF) yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Dis ini dan semasa lawatan pegawai-pegawai kanan MDA Singapura ke Malaysia pada awal tahun depan.

Dalam pertemuan tersebut, Kamaruddin menyarankan agar syarikat-syarikat Singapura mengambil peluang untuk melabur di zon pembangunan Iskandar Johor terutama di bidang industri kreatif sejajar dengan projek pembangunan Pinewood Studio Iskandar yang akan beroperasi menjelang tahun 2013.

Mengenai kerjasama industri kreatif dengan Australia, Kamaruddin berkata kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk mewujudkan perjanjian kerjasama penerbitan antara kedua-dua negara dan diharap ia dapat dimeterai akhir tahun ini.

Perjanjian ini akan menjadi payung bagi pembangunan usaha-usaha produksi industri kreatif antara kedua-dua negara.

Semasa pertemuan dengan Presiden Reed MIDEM, Kamaruddin telah memohon supaya penganjur MIPCOM mempertimbangkan untuk mempopularkan Malaysia sebagai pusat industri kreatif serantau menerusi penonjolan negara fokus pada MIPCOM akan datang.

Pada setiap tahun, MIPCOM akan memperkenalkan negara-negara tertentu dalam bidang industri kreatif untuk ditonjolkan sebagai negara fokus dan pada tahun ini Russia telah dipilih sebagai negara fokus.

Sekiranya usaha ini menjadi kenyataan, Kamaruddin berkata ia adalah satu peluang untuk Malaysia mempromosikan industri kandungan negara di peringkat antarabangsa di samping mewujudkan kerjasama produksi dengan negara luar.

Untuk tujuan itu, beliau telah meminta FINAS untuk mengkaji kemungkinan mengadakan kerjasama berkenaan.

MIPCOM 2011, yang berlangsung hari dari 3 hingga 6 Okt, adalah acara tahunan di Cannes, Perancis yang menjadi pusat pasaran industri kandungan terkenal menemukan semua pembeli dan penjual industri kandungan di seluruh dunia.

Sebanyak 75 syarikat berkaitan industri kandungan Malaysia menyertai MIPCOM 2011. Daripada jumlah itu, lebih 45 syarikat menjual bahan-bahan industri kandungan sama ada dalam bentuk filem, animasi, drama bersiri dan harta intelek yang lain.

Penyertaan ini merupakan satu rekod baru pencapaian Malaysia dalam memasarkan produk industri kandungan kreatif ke peringkat global. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain