suria

32 Juta Air Zam-Zam Diagih Kepada Jemaah Haji Tahun Lepas

MADINAH: Kira-kira 32 juta liter air zam-zam diberi kepada jemaah haji di Arab Saudi sepanjang musim haji tahun lepas, kata Pejabat Al-Zamzima yang bertanggungjawab kepada pengagihan.

Untuk tahun ini, pejabat itu melaksanakan pelan haji yang mensasarkan setiap bakal haji diberikan air tersebut daripada hari pertama mereka tiba sehingga hari mereka berlepas pulang ke negara masing-masing.

"Fasa terakhir pelan itu dijadual dari 10 Nov hingga 6 Dis, yang mana semasa tempoh itu setiap jemaah akan diberi 1.5 liter air zam-zam sebagai hadiah untuk dibawa pulang," kata Ketua Pejabat Sulaiman Abu Ghelya, lapor akhbar Arab News pada Selasa.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Masjidil Haram Muhammad Naser Al-Khuzaim berkata semua persiapan untuk melaksanakan pelan haji tahun ini telah siap.

Beliau berkata pelan itu bertujuan membolehkan tetamu Allah mengerjakan ibadat haji dalam keadaan aman dan selamat, selain memastikan suasana terbaik untuk beribadat di dalam Masjidil Haram dan kawasan sekitar plaza.

"Pelan itu juga bertujuan menyediakan semua perkhidmatan dan fasiliti yang diperlukan jemaah serta membimbing mereka cara mengerjakan rukun kelima dalam Rukun Islam tersebut," katanya menambah lebih 6,000 pekerja akan terlibat melaksanakan pelan berkenaan.

Al-Khuzaim berkata kawasan di luar plaza di bahagian selatan Masjidil Haram telah diperbesar lebih 2,000 meter persegi bagi menyediakan ruang lebih luas untuk bersolat. Beliau juga meminta jemaah agar tidak menempah tempat untuk mereka dan orang lain di dalam masjid kerana terdapat ruang yang cukup untuk semua.

Sementara itu di Riyadh, Kementerian Kesihatan mengumumkan 80 pusat perkhidmatan kesihatan primer (PHCs) di Arafah, Mina dan Muzdalifah kini sedia menerima jemaah.

Selain 28 PHCs di Mina, 46 di Arafah dan enam di Muzdalifah, terdapat tiga hospital di Arafah serta empat di Mina, dan semua kemudahan di pusat terbabit telah dikemas kini dan sedia untuk beroperasi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tembakan Di Kuari: Dua Maut

Artikel Berikut

Artikel Lain