suria

Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Luar Asean Isnin Ini

BANGKOK: Para Menteri Luar Asean akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di sini Isnin ini.

Mereka akan membincangkan isu strategik Asean seperti masa depan EAS apabila ia diperluaskan untuk turut disertai Rusia dan Amerika, kata Kementerian Luar Thailand dalam kenyataannya, Sabtu.

Kementerian itu berkata perluasan tersebut pasti memberi kesan terhadap tata atur serantau, usaha untuk mengekalkan kedudukan penting Asean dan cara untuk membolehkan pertubuhan serantau itu memanfaatkan sepenuhnya EAS sebagai forum utama untuk meningkatkan profil dan sumbangan Asean di peringkat global.

Mesyuarat tidak rasmi itu juga akan membincangkan langkah yang perlu diambil oleh EAS untuk memastikan keberkesanannya dalam menangani cabaran semasa dan yang bakal muncul di rantau ini, kata kenyataan itu.

EAS merupakan forum untuk membincangkan pelbagai isu strategik, politik dan ekonomi kepentingan bersama ke arah memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Timur.

Ia bersifat terbuka, inklusif, telus dan memandang ke hadapan bagi memperkukuhkan norma sejagat dan nilai yang diterima pakai oleh masyarakat global, yang berpaksikan Asean sebagai pemacu utamanya dengan kerjasama negara yang menganggotai EAS.

Di samping 10 negara anggota Asean, EAS juga disertai enam negara lain -- Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Amerika dan Rusia akan mula menganggotai EAS tahun ini.

Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov menghadiri EAS kelima sebagai tetamu tuan rumahnya, Hanoi, pada 30 Oktober tahun lepas.

Kenyataan itu berkata pada mesyuarat berkenaan, para Menteri Luar Asean juga akan berbincang tentang persiapan untuk menghadapi Sidang Kemuncak Asean Ke-18 di Jakarta pada 7 dan 8 Mei ini serta tarikh untuk mengadakan Sidang Kemuncak Asean Ke-19 dan sidang kemuncak lain yang berkaitan dengannya di Bali. - BERNAMA

Artikel Lain