suria

Tiga Anggota Polis Mati Ditembak Insiden Serangan Balai Polis Di Sumatera Utara

JAKARTA: Sekumpulan 12 orang yang dipercayai kumpulan pengganas menyerang sebuah balai polis kecil di Hamparan Perak, Daerah Deli Serdang, Sumatera Utara tengah malam Selasa mengakibatkan tiga anggota polis Indonesia mati ditembak. Serangan itu adalah kejadian pertama seumpamanya kerana sebelum ini kumpulan pengganas menyasarkan warga asing di Indonesia dengan serangan bom, kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Iskandar Hasan. Dalam kejadian itu, para penyerang yang pergi ke tempat kejadian dengan enam motosikal telah menggunakan tutup muka untuk menyembunyikan wajah mereka, katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Rabu.

Beliau berkata daripada kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian, mereka didapati menggunakan senjata api berupa sebuah pistol, AK, M16 dan ES1.

Dalam kejadian itu, penyerang telah melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap anggota polis yang sedang berkawal di balai polis itu mengorbankan tiga orang, manakala anggota lain yang berada dalam balai itu segera menyelamatkan diri.

"Tugas kami (Polis Indonesia) adalah untuk melayani masyarakat, berbeza dengan kesiagaan di daerah konflik sehingga para anggota terkejut dan tidak siap beraksi kerana serangan itu hanya dalam hitungan detik," kata Iskandar.

Polis percaya serangan itu merupakan pembalasan terhadap tiga anggota pengganas ditembak mati dan tiga yang lain ditangkap polis dua hari lalu berkaitan kes rompakan bank CIMB Niaga di Medan, baru-baru ini.

Sebahagian daripada mereka yang ditangkap itu mengaku pernah mengikuti latihan ketenteraan di kem Aceh yang diserbu polis beberapa bulan lalu.

"Ini mungkin semacam reaksi dari mereka, boleh juga dikatakan balas dendam," katanya.

Bukti kaitan antara para pelaku dengan rompakan bank itu adalah jenis senjata sama yang digunakan, katanya.

"Setakat ini kami baru menjumpai satu senjata laras panjang padahal dari bukti foto rompakan di bank itu, ada banyak senjata api yang mereka miliki," katanya lagi.

Sejumlah foto yang diambil oleh orang ramai di sekitar bank itu menunjukkan para perompak mempunyai kemampuan profesional dalam menjalankan aksinya dengan menggunakan pelbagai jenis senjata api laras panjang.

Iskandar berkata, kejadian serangan tengah malam tadi sesuai dengan tiga doktrin pengganas yang telah dikenalpasti oleh polis iaitu menyerang orang asing dan melakukan rompakan di institusi-institusi kewangan maupun ke atas orang yang dianggap mempunya wang.

"Yang ketiga adalah menyerang balai polis. Jadi sekarang mereka telah melakukan semua itu," katanya.

Balai polis Hamparan Perak mungkin dipilih sebagai sasaran kerana ia merupakan salah satu balai di peringkat paling kecil dalam polis Indonesia yang dinilai sebagai tempat paling lemah, tambahan pula pada waktu malam tahap kewaspadaan para petugas menjadi kurang.

Iskandar berkata polis kini memburu para penyerang terbabit serta saki baki perompak bank CIMB Niaga itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, polis telah meningkatkan kesiagaan di beberapa daerah yang pernah menjadi tempat persembunyian maupun lokasi penangkapan para anggota pengganas seperti di Lampung, Jawa Barat, Jawa Tengah dan Aceh.

Iskandar meminta masyarakat di kawasan terbabit supaya berwaspada dengan pihak-pihak yang mencurigakan, terutamanya jika mereka yang berkenaan itu didapati menjalankan aktiviti waktu malam dan jarang pula berinteraksi dengan jiran-jiran. - BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain