suria

Jadual Yang Sibuk Bagi Najib Di Luar Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK: Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di sini Khamis untuk lawatan kerja enam hari, lima bulan selepas satu lawatan yang berjaya bagi mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Kali ini, pada awalnya, Perdana Menteri, akan menyertai para pemimpin Asean bertemu dengan Presiden Barack Obama pada sidang kemuncak kedua Asean-Amerika di hotel Waldorf-Astoria di sini dijadualkan pada Jumaat.

Pertemuan dengan Presiden Amerika itu dijangka menjadi agenda utama walaupun para pemimpin 10 negara anggota Asean dijangka tiba, terutama, bagi menghadiri sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Selain memfokuskan terhadap pasaran di China dan India, pentadbiran Obama dilaporkan memberi perhatian utama kepada rantau ASEAN, ditarafkan sebagai pasaran eksport kelima terbesar oleh masyarakat perniagaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, ASEAN merancang untuk memperluaskan rakan dialognya Asean+6 kepada Asean+8 bagi memasukkan Amerika dan Rusia.

Pertemuan itu akan dipengerusikan bersama Presiden Vietnam Nguyen Minh Triet, sebagai pengerusi Asean, dan Presiden Obama.

Sebelum pertemuan itu, Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri satu majlis yang dihoskan oleh Obama dan Wanita Pertama Michelle Obama bagi para pemimpin Asean.

Kali terakhir Najib dan Obama bertemu di Washington ialah pada April lepas dalam pertemuan dua hala buat julung kali, yang kemudiannya disifatkan sebagai menandakan "satu permulaan baru dalam hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat".

Lawatan itu yang juga membawa beliau ke New York menyaksikan Najib berdepan dengan minggu yang sibuk yang dipenuhi pertemuan dengan pemimpin-pemimpin perniagaan dan pengurus dana untuk menarik pelaburan.

Dalam satu taklimat kepada wartawan Malaysia pada Rabu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Najib dijadual menyampaikan ucapan sulung kepada badan dunia itu pada 27 Sept.

Sesi tahun ini bertemakan "Memperkukuhkan Peranan Utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dalam Tadbir Urus Global".

Di luar perhimpunan itu, Anifah berkata Najib mempunyai program yang padat termasuk pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dan perbincangan dengan beberapa ketua kerajaan.

Di antara mereka ialah Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Filipina Benigno Aquino III, Presiden Kosovo Dr Fatmir Sejdiu dan begitu juga dengan rakan sejawatan Najib dari Bangladesh, Croatia dan Slovenia.

Anifah berkata misi Malaysia di Amerika Syarikat diketuai Duta Besar Datuk Seri Jamaludin Jarjis menerima banyak permintaan dari para pemimpin dunia untuk berbincang dengan Najib di luar perhimpunan agung itu.

"Mereka (para pemimpin) terutamanya ingin berkongsi pandangan dengan Perdana Menteri berhubung perkara-perkara seperti ekonomi global dan mempelajari mengenai kemajuan ekonomi Malaysia," kata Anifah.

Beliau berkata banyak negara memandang tinggi terhadap Malaysia dan ingin bertukar-tukar pandangan dengan Najib berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa.

Anifah berkata Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan pemimpin perniagaan Amerika termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACE Group Evan Greenberg, pengasas Wikipedia Jimmy Wales dan CEO bagi Pertahanan, Angkasa dan Keselamatan Boeing Dennis Muilenburg.

Di dalam program itu juga ialah pertemuan dengan Presiden Majlis bagi Hubungan Luar Richard Haas, wakil khas Amerika bagi Afghanistan dan Pakistan Richard Holbrooke, Presiden Akademi Sains New York Ellis Rubinstein dan Pengarah Earth Institute, Columbia University Prof Jeffery Sachs.

Semasa di sini, Najib juga dijadual ditemu bual secara berasingan Oleh New York Times, Wall Street Journal dan dengan Fareed Zakaria dari CNN.

Pada Sabtu, Najib dan Rosmah dijadual menjadi hos kepada satu majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri bagi penuntut Malaysia dan masyarakat di New York di Perutusan Tetap Malaysia di sini.

Perdana Menteri juga akan melawat Bursa Saham New York di mana beliau akan mengadakan perbincangan dengan eksekutif utama sebelum menghadiri majlis penutupan urusniaga di bursa itu pada Isnin.

Perdana Menteri akan menamatkan lawatannya pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain