SINGAPURA: Kerajaan Singapura telah membenarkan ibu bapa daripada perkahwinan campur menentukan bangsa anak mereka ketika mendaftarkan kelahiran anaknya.
Sebelum ini, sungguhpun kerajaan tidak meletakkan jenis bangsa seseorang di bawah peraturan am negara bandar raya, seseorang kanak-kanak itu akan didaftarkan sebagai bangsa seperti ayahnya.
Menteri Kanan Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Prof Madya Ho Peng Kee memberitahu Parlimen hari ini bahawa peraturan itu dikaji semula setelah kerajaan mengiktiraf kepelbagaian demografi bangsa republik ini yang telah meningkat kebelakangan ini, ekoran kemasukan imigran dan meningkatnya bilangan rakyat tempatan berkahwin dengan bangsa asing.
Peraturan baru itu yang berkuatkuasa pada 2 Januari lepas, akan membolehkan ibu bapa daripada bangsa berlainan, keflesibelan dan pilihan untuk menentukan bagaimana bangsa anaknya dicatatkan, katanya.
Beliau berkata kerajaan akan menerima satu deklarasi bangsa selagi ia diterima secara amnya sebagai keturunan etnik.
Sebagai contoh, katanya ibu bapa daripada perkahwinan campur seperti bangsa Serani dan Cina, mungkin mahu mencatatkan bangsa anaknya sebagai Serani, Cina atau Eurasian. - BERNAMA


