suria

Indonesia Wajibkan TKI Jalanu Latihan 200 Jam

JAKARTA: Dalam usaha memastikan ketrampilan tenaga kerjanya yang akan bekerja di luar negeri, Indonesia kini mewajibkan mereka menjalani latihan kecekapan selama 200 jam.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar berkata syarat yang diperketatkan bagi setiap calon tenaga kerja Indonesia (TKI) itu sekali gus bertujuan meningkatkan daya saing mereka supaya lebih diterima di pasaran tenaga kerja dunia.

"Calon TKI yang ingin bekerja di luar negeri wajib lulus latihan standard kompetensi minimum 200 jam agar dapat bersaing di pasaran dunia," katanya yang dipetik laman web Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia hari ini.

Beliau berkata pemerintah Indonesia juga memperbaiki sistem penghantaran dan penempatan TKI untuk mencegah penghantaran TKI yang belum bersedia untuk bekerja di luar negeri.

Ini juga merupakan usaha untuk melindungi TKI, supaya dengan berbekalkan kecekapan bekerja, mereka tidak dilayani dengan buruk oleh majikan, katanya, yang yakin bahawa dalam masa lima tahun lagi, TKI yang bekerja di luar negeri sudah memiliki tahap kecekapan yang sesuai.

Muhaimin yang baru pulang dari lawatan kerja ke Malaysia beberapa hari lepas, bagaimanapun tidak menyebut di mana latihan itu akan dijalankan, bentuk kurikulumnya, bidang kerja yang terlibat seperti pembantu rumah tangga atau buruh binaan, dan sama ada ia akan dikendalikan oleh swasta atau agensi pemerintah.

Ketika ini terdapat 130 balai (pusat) latihan kerja (BLK) milik syarikat swasta dalam bidang penghantaran TKI, yang lebih menumpukan kepada latihan asas untuk pembantu rumah tangga yang akan mereka hantar bekerja di luar negeri termasuk Malaysia.

Selain latihan wajib 200 jam itu, katanya, kementeriannya juga sedang menyelaraskan dengan Kementerian Pendidikan Indonesia untuk menghasilkan formula latihan yang akan membolehkan lepasan sekolah di negara 17,000 pulau ini terus dapat diserap oleh pasaran tenaga kerja.

Pemerintah Indonesia akan meningkatkan usaha membanteras orang tengah atau 'calo' TKI yang selama ini menjadi antara penyebab perekrutan TKI menjadi panjang dan berbelitbelit serta mahal sehingga banyak TKI memilih ke luar negeri khasnya Malaysia secara haram tanpa menggunakan dokumen sah dan jalan rasmi.

"Kita akan pertingkatkan kerjasama dengan polisi dan imigresen bagi mencegah pengiriman TKI secara haram," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain