suria

"Ops Masyair" Tabung Haji Bermula Rabu Depan

MEKAH: Tabung Haji akan melancarkan "Ops Masyair" pada 25 Nov ini iaitu operasi besar-besaran yang melibatkan lebih 800 petugas Tabung Haji di tanah suci bagi memastikan kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia berada di padang Arafah menjelang wukuf 26 November ini.

Operasi itu tidak terkecuali bagi jemaah haji yang sakit dan sedang menerima rawatan di kedua-dua hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya.

Ambulans akan digunakan bagi membawa mereka ke padang Arafah pada hari wukuf walaupun untuk cuma 10 minit.

Proses ini sangat penting kerana berhimpun di Arafah walaupun untuk seketika merupakan perkara rukun dalam ibadah haji dan mereka yang gagal berbuat demikian, ibadah haji yang dilakukan dianggap tidak sah dan terbatal.

Ketua rombongan haji Malaysia Mohd Salleh Abd Mubin berkata sepanjang operasi itu dari 8 hingga 13 Zulhijjah atau 25 hingga 30 November, petugas Tabung Haji akan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mengawal pergerakan jemaah haji sepanjang mereka berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Bercakap kepada petugas media Tabung Haji di sini hari ini, beliau berkata operasi akan bermula pada 11 pagi 25 November di mana jemaah haji akan dibawa ke padang Arafah dengan menggunakan 160 buah bas.

"Setiap maktab Tabung Haji akan diperuntukkan 16 buah bas dan pihak pengurusan setiap maktab bertanggungjawab menentukan pergerakan yang licin dan lancar setiap jemaah dari tempat penginapan mereka ke padang Arafah di mana jemaah haji kemudian akan ditempatkan di khemah mengikut nombor maktab masing-masing," katanya.

Beliau berkata bas akan berulang-alik dari maktab Tabung Haji ke Arafah dan sebaliknya dan berharap keseluruhan proses menghantar jemaah haji ke Arafah selesai sepenuhnya sebelum tengah malam hari yang sama.

Mohd Salleh berkata pihak berkuasa Arab Saudi telah menempatkan khemah bagi jemaah haji Malaysia dalam kelompok jemaah haji dari Asia Tenggara dan tidak bercampur dengan jemaah dari kawasan lain.

Setelah proses itu selesai, tahap seterusnya Ops Masyair bermula iaitu pemantauan pergerakan jemaah haji serta pengisian masa jemaah haji dengan pelbagai sesi ceramah bagi pemantapan akidah, sembahyang berjemaah serta ibadah yang lain.

Mohd Salleh berkata pergerakan dari Arafah, Mudzalifah dan Mina dijangka lancar ekoran langkah kerajaan Arab Saudi menggunakan sistem "dedicated route" bagi jemaah haji Asia Tenggara untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata di Mina, khemah jemaah haji Malaysia ditempatkan berhampiran jalan ke terowong Moaisem yang menuju ke kompleks jamrah lima tingkat yang baru siap.

Katanya, mereka akan berjalan kaki menerusi terowong je Jamrah untuk melontar pada waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Mohd Salleh berharap jemaah haji Malaysia akan mengikut arahan petugas Tabung Haji terutama tentang masa yang dipertuntukkan untuk mereka melontar serta mematuhi arahan pihak berkuasa yang melarang jemaah haji membawa beg besar dan kanak-kanak ketika melontar.

Setelah kesemua ibadah haji selesai, jemaah haji akan dibawa menaiki bas yang sama ke tempat penginapan masing-masing di Mekah, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain