suria

Jangan Politikkan Ibadah Haji

MEKAH: Rabitah al-A'lami al-Islami (Liga Islam Sedunia) meminta umat Islam yang kini sudah pun berada di tanah suci Mekah untuk mengerjakan haji supaya tidak mempolitikkan ibadah itu sehingga menimbulkan kekecohan.

Setiausaha Agungnya Abdullah Abdul Mohsin Al-Turki berkata umat Islam hendaklah mengerjakan haji mengikut sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan jangan sekalikali mempunyai maksud yang lain apabila mengerjakan haji.

"Laksanakanlah haji sepertimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan jangan mencampuradukkan dengan tujuan lain seperti fahaman politik sehingga menimbulkan masalah kepada umat Islam yang lain dan boleh merosakkan haji," katanya ketika berucap merasmikan seminar Haji peringkat Asia Tenggara di sini Rabu malam.

Barubaru ini kerajaan Arab Saudi memberi amaran kepada Iran supaya jangan cuba mempolitikkan ibadah haji apabila Iran menuduh Arab Saudi tidak memberi layanan yang sewajarnya kepada jemaah haji dari negara itu.

Al-Turki berkata kerajaan Arab Saudi telahpun menjalankan pelbagai langkah bagi menentukan jemaah haji dapat menjalankan ibadah dengan selesa dan teratur termasuk dengan memperbaiki kemudahan infrastruktur yang sedia ada di samping menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji.

Saya yakin para jemaah haji akan menumpukan perhatian terhadap ibadah sepanjang musim haji ini dan mengambil berat terhadap cara mengerjakan haji dengan betul dan memanfaatkan masa ketika mereka berada di tanah suci Mekah dan Madinah," katanya.

Pada seminar itu, Malaysia, China dan Singapura membentangkan kertas kerja yang menyentuh tentang pengalaman masingmasing dalam menguruskan jemaah haji.

Kertas kerja Malaysia dibentang oleh pakar rujuk Tabung Haji Dr Zulkifli Mohamad AlBakri yang menyentuh tentang sejarah penubuhan Tabung Haji serta peranan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji dari Malaysia.

Cabaran serta kepayahan yang terpaksa diharungi oleh masyarakat Islam China dalam mengerjakan haji dibentangkan oleh seorang jurucakap jemaah haji dari negara itu.

Menurut jurucakap itu, sebelum China mengamalkan dasar pintu terbuka, umat Islam di negara itu terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran untuk mengerjakan haji namun ini sedikit pun tidak melemahkan semangat mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Namun kini, katanya keadaan telah berubah dan jumlah umat Islam China yang mengerjakan haji semakin bertambah dari tahun ke tahun sehingga menjangkau 15,000 orang pada tahun ini.

Singapura yang diwakili oleh Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat pula membentangkan peranan yang dijalankan oleh Majlis Ugama Islam Singapura dalam menentukan agensi pelancongan yang mengendalikan jemaah haji negara itu menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain