suria

Najib Saksikan Pemeteraian Tiga MOU Dengan Universitas Hasanuddin

MAKASSAR: Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk melihat kerjasama lebih erat dengan Wilayah Sulawesi Selatan hari ini menjadi kenyataan dengan termeterainya tiga memorandum persefahaman(MOU) antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Universitas Hasanuddin (UNHAS) di sini.

Tiga MOU itu melibatkan agensi-agensi di bawah MOSTI iaitu SIRIM Berhad, MIMOS dan Teknology Park Malaysia (TPM).

Najib menyaksikan penandatanganan MOU itu sempena lawatan kerja sehari beliau ke sini hari ini sebagai tetamu kenamaan pada acara sambutan ulang tahun ke-689 daerah Gowa.

Kerjasama antara SIRIM dengan UNHAS melibatkan bidang pengurusan akuakultur dan pembangunan usahawan untuk komoditi kentang serta produk hilirannya.

Sementara antara MIMOS dan UNHAS pula merangkumi bidang pertanian dan kelautan iaitu bagi pengesanan akuakultur dan pertanian jitu.

Teknologi Park Malaysia pula menandatangani kerjasama dengan UNHAS dalam bidang komuniti sosial dengan memberi peluang kepada penyelidik UNHAS menggunakan makmal dan kemudahan pemprosesan herbal di bilik TPM yang terletak di Raub, Pahang.

Kesemua projek di bawah tiga MOU itu akan bermula akhir tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir, ini merupakan kali pertama agensi di bawah MOSTI mengadakan kerjasama di Makassar.

Program kerjasama itu dijangka akan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain