suria

Lawatan Najib Sasar Tingkat Pelaburan Amerika Di Malaysia

NEW YORK: Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke New York mulai Ahad akan membuka laluan bagi anjakan baru dalam hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, terutamanya dalam bidang ekonomi, demikian menurut kalangan para diplomat.

Perdana Menteri Malaysia akan menggunakan kesempatan masanya di New York untuk "menjual" bagi meningkatkan pelaburan Amerika di negara-negara Asia Tenggara.

Bagi Duta Malaysia ke Amerika yang baru dilantik Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, lawatan Perdana Menteri ke negara itu amat mengujakannya.

"Perdana Menteri telah bersedia untuk memberikan maklumat kepada para pelabur Amerika dan ketua-ketua perkhidmatan industri kewangan mengenai dasar-dasar baru serta langkah dan tindakan yang diperkenalkan Malaysia dalam usahanya untuk menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan," kata Jamaluddin kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Najib.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadual berada di New York dan Washington dari 22 hingga 25 November sebelum berlepas ke Trinidad dan Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel.

Menurut Jamaluddin, Perdana Menteri berhasrat untuk membina "jambatan baru" antara Kuala Lumpur dan Washington yang boleh merangsang hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

Amerika merupakan rakan dagang terbesar Malaysia manakala Malaysia menduduki tempat ke-16 rakan dagang terbesar Amerika. Laporan menunjukkan dagangan dua hala tahunan telah melepasi paras US$40 bilion.

Duta itu berbicara tentang tindakan Najib meliberalisasikan 27 subsektor dalam sektor perkhidmatan, antara lain untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih menarik bagi para pelabur.

Jamaluddin berkata Perdana Menteri akan dapat melihat sendiri akan keadaan ekonomi Amerka semasa lawatannya ke New York, yang disifatkan oleh duta itu sebagai nadi aktiviti kewangan ekonomi dunia.

Duta Malaysia ke Amerika itu, yang merupakan bekas menteri kabinet, dilantik sebagai duta ke Amerika pada 4 November berkata krisis kewangan global mungkin memberi kesan teruk kepada Amerika namun terdapat tanda-tanda ia semakin pulih.

Langkah-langkah bagi merangsang sektor kewangan dan ekonomi Amerika telah mula menampakkan hasil, katanya.

"Contohnya, banyak bank di Amerika telah berupaya membayar balik pinjaman kerajaan yang diberikan kepada mereka semasa kemuncak krisis kewangan," katanya.

Najib mempunyai jadual padat pada Isnin, termasuk mengadakan perjumpaan dengan para pelabur yang diatur oleh CIMB dan Credit Suisse First Boston (CSFB).

Perdana Menteri dijadual menemui ahli perbankan dan pembiaya kewangan Amerika pada jamuan tengah hari yang dianjurkan bersama CSFb, JP Morgan dan Barclays Bank.

Pemimpin nombor satu Malaysia itu turut dijadual mengadakan perbincangan dengan Gene Delaney, Presiden Motorola Enterprise Mobility Solutions serta Steve Forbes, Presiden Forbes Inc.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menetap di New York dan Washington.

Satu jamuan malam dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ban Kimoon turut tercatat dalam jadual aturcara Najib.

Menurut Jamaluddin, masyarakat pelabur dan kewangan Amerika percaya ini merupakan masa yang baik bagi Perdana Menteri untuk berada di bandar raya ini dan berkongsi pandangan dengan mereka di tengah-tengah petunjuk mengenai pemulihan ekonomi Amerika.

"Ia merupakan masa sesuai bagi beliau menjelaskan mengenai langkah-langkah dan dasar-dasar yang diambil Malaysia untuk meningkatkan iklim pelaburan dengan harapan syarikat-syarikat Amerika sedia ada dan yang baru akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka," katanya.

Duta Malaysia itu turut menyatakan mengenai rancangan untuk menghidupkan semula Kaukus Kerjasama Dagangan, Keselamatan dan Ekonomi Malaysia.

"Pemimpin Malaysia dan Amerika mungkin mempunyai hubungan yang baik tetapi kita tidak boleh meminggirkan usaha-usaha di peringkat perundangan bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

20 Jemaah Haji Dikesan Positif H1N1

Artikel Lain