suria

Malaysia Tingkat Pelancongan Muslim Di China

KUNMING: Malaysia akan meningkatkan usaha mempromosi pakej-pakej pelancongan Muslim dalam negara termasuk yang membabitkan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi oleh pelancong dari China khusus di bulan Ramadhan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata jumlah pelancong kaum Muslim dari China yang berkunjung ke Malaysia dilihat meningkat dengan ketara daripada 50,000 pada tahun 2003 kepada 94,000 tahun lepas.

"Dengan jumlah yang begini tinggi, saya percaya sektor pelancongan Malaysia yang membabitkan kunjungan pelancong Muslim dari China mempunyai potensi yang tinggi untuk diterokai," katanya pada satu sesi dialog dengan pengusaha sektor pelancongan serta pemimpin kaum Muslim tempatan di sini, Khamis.

Beliau yang berada di sini untuk lawatan kerja 12 hari di China berkata pakej-pakej itu mungkin boleh merangkumi lawatanlawatan ke masjid, promosi-promosi sempena Ramadhan, contohnya yang membabitkan gerai-gerai makanan halal serta bufet hotel pada bulan berkenaan.

Beliau berkata selain memiliki sistem perbankan Islam, kemunculan Malaysia sebagai hub makanan halal juga boleh memberi kelebihan dalam usaha mempromosi pelancongan Muslim di Malaysia.

Ng seterusnya menyarankan supaya pengusaha pelancongan di China mengkaji potensi membawa pelancong Muslim dari Malaysia ke China.

Sementara itu seorang pengusaha pelancong China yang menghadiri sesi dialog berkenaan yang hanya dikenali sebagai Amee berkata, populasi 20 juta kaum Muslim di China dengan jelas menggambarkan potensi pasaran yang cukup kukuh di sini.

Menurutnya, beberapa pengusaha sektor pelancongan mengambil peluang ini untuk meningkatkan kerjasama dengan Tourism Malaysia sejak tahun-tahun kebelakangan ini untuk meneroka potensinya.

Beliau berkata pelancongan yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, percutian keluarga dan program "Malaysia My Second Home" di Malaysia didapati mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Semasa di sini, Ng turut mengetuai satu delegasi ke majlis perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa China (CITM) ke-11 yang turut disertai oleh 94 negara, Khamis, dan beliau juga mengambil kesempatan itu untuk melawat beberapa tempat pameran yang membabitkan pengusaha dari Malaysia.

Dengan jumlah ketibaan pelancong dari China ke Malaysia menjangkau 835,000 Oktober lepas, Ng berkata beliau berharap sasaran untuk menarik kehadiran satu juta pelancong dari China melawat Malaysia tahun ini boleh dicapai.

Ng kemudiannya turut menghadiri Forum sulung Kerjasama Pelancongan China-Asean, dan membuat kunjungan hormat ke atas pengerusi Pentadbiran Pelancongan Nasional China, Shao Qiwei.

Dalam pertemuannya dengan Shao, Ng menyuarakan pandangannya supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji kerjasama pelancongan China-Asean di samping berbincang mengenai langkah yang perlu diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta.

"Asean-China perlu berbincang mengenai pakej-pakej serta pelancongan antara sempadan, di samping mengenai isu-isu membabitkan proses imigresen. Saya harap mesyuarat menteri-menteri pelancongan China-Asean di Brunei Januari ini akan dapat memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai perkara-perkara itu," katanya.

Shao yang menyokong pandangan Ng berkata dengan kerjasama pelancongan China-Asean lebih erat serta perjanjian perdagangan bebas China-Asean yang dijangka dimeterai tahun depan, sudah tiba masanya menteri-menteri pelancongan di rantau ini mengadakan kerjasama lebih erat dalam membangunkan industri pelancongan serantau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain