suria

20 Jemaah Haji Dikesan Positif H1N1

JEDDAH: Sebanyak 20 kes Influenza A (H1N1) dilaporkan di kalangan jemaah haji sejak umat Islam tiba dari seluruh pelosok dunia untuk menunaikan rukun Islam kelima, demikian menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Daily Arab News.

Laporan akhbar yang memetik Menteri Kesihatan Dr Abdullah Al-Rabeeah sebagai berkata 12 daripada mereka dirawat manakala kes selebihnya sedang dalam pemerhatian.

"Kami berharap mereka akan sembuh dalam masa dua hari," katanya.

Beliau berkata tiada kes jangkitan penyakit lain dilaporkan dalam kalangan jemaah haji dan tindakan kementerian melakukan persediaan awal pada musim haji kali ini mendatangkan hasil.

"Tumpuan kami pada tahun ini adalah terhadap selesema babi dan Jabatan Bagi Pencegahan Perubatan serta agensi haji melantik 80 perunding bagi pusat-pusat penjagaan intensif pada masa musim ini," katanya.

Al-Rabeeah berkata para perunding berkenaan termasuk pakar-pakar daripada pusat-pusat jangkitan penyakit Arab Saudi, negara-negara Arab lain dan Amerika Syarikat dengan sejumlah 10,000 petugas kesihatan termasuk 100 doktor, 60 daripada mereka pakar asing bagi penyakit berjangkit serta 147 jururawat asing bagi unit-unit penjagaan intensif dan pusat-pusat kecemasan.

Kementerian Kesihatan, katanya menyediakan 14 hospital di Mekah dengan 2,782 katil, termasuk 244 katil unit-unit penjagaan intensif dan 287 katil di wad kecemasan.

Terdapat juga 35 pusat-pusat kesihatan kekal di Mekah, sembilan pusat kesihatan bermusim di sepanjang Lebuh Raya Mekah-Madina dan empat pusat di Masjidil Haram di Mekah, 28 pusat-pusat kesihatan di Mina, 46 di Arafat dan enam di Muzdalifah, kata beliau.

Sementara itu, jurucakap Tabung Haji berkata tiada kes H1N1 dilaporkan di kalangan jemaah haji Malaysia dan tiada jemaah haji yang dirawat di dua hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya dikesan mempunyai simptom H1N1.

Begitupun, beliau berkata anggota pasukan perubatan Tabung Haji sedang memantau keadaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat mana-mana jemaah haji Malaysia dikesan mempunyai simptom selesema babi.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain