suria

Pegawai Asean bermesyuarat pada Persidangan AMRI

VIENTIANE: Pegawai Asean memulakan mesyuarat dua hari di sini hari ini bagi membincangkan pelbagai program dan aktiviti sedia ada berkaitan media dan mencadangkan program baru bagi meningkatkan kesedaran mengenai Asean dalam usaha mewujudkan Komuniti Asean menjelang 2015.

Kesemua 10 negara anggota perkumpulan itu diwakili pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan, Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Asean (AMRI) Ke-10 di ibu negara Laos ini.

Malaysia diwakili delegasi lima anggota yang diketuai Datuk Azmi Ali, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Anggota lain termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkefli Salleh dan Pengarah Pembangunan Bahan Kandungan dan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Roslan Mohamad.

Menurut Azmi, pada mesyuarat itu Malaysia dijangka mencadangkan mekanisme baru untuk menggiatkan lagi penyebaran berita dan maklumat di kalangan negara anggota Asean bagi membantu merealisasikan Komuniti Asean.

Malaysia akan menawarkan untuk memainkan peranan utama bagi memastikan kejayaan wadah baru itu.

Mesyuarat peringkat menteri dijadual bermula pada Khamis.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual hadir.

Malaysia akan menjadi tuan rumah AMRI akan datang, tahun depan. BERNAMA

Artikel Lain