suria

Malaysia optimis kunjungan pelancong Sweden terus meningkat

STOCKHOLM: Malaysia yakin pelancong dari Sweden akan terus berkunjung ke negara ini walaupun tiada penerbangan terus Kuala Lumpur-Stockholm oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAs) pada masa ini.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen juga optimis bahawa penggantungan perkhidmatan itu tidak akan memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan.

Beliau berkata selain daripada kempen promosi yang berjalan dari semasa ke semasa, Pejabat Tourism Malaysia di sini juga akan memulakan beberapa strategi baru bagi menarik lebih ramai pelancong Sweden berkunjung ke Malaysia.

Berucap pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Sweden Datuk Kamarudin Mustafa di kediamannya di sini, malam tadi, Dr Ng berkata strategi itu termasuk memperkenalkan pakej percutian khas pelancongan eko dengan operator pelancongan tempatan di sini bagi mengelak musim sejuk yang teruk.

Beliau berkata melalui strategi itu juga ia akan memberi perhatian bagi memperkenalkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) secara agresif kepada pelancong Sweden.

Dr Ng kini dalam misi galakan pelancongan di tiga bandaraya Scandinavia termasuk Helsinki dan Copenhagen sebelum menghadiri World Travel Mart (WTO) di London pada 9 Nov.

Beliau berkata lebih 48,000 pelancong Sweden berkunjung ke Malaysia tahun lepas berbanding dengan ketibaan 44,746 orang pada 2007.

MAS telah menyediakan khidmat di ibu negara Sweden itu yang merupakan bandaraya transit sebelum terbang ke New York sejak Nov 2004.

Bagaimanapun, sektor itu digantung sejak bulan lepas berikutan muatan penumpang yang rendah apabila berlaku krisis ekonomi global.

Sementara itu, Kamarudin meminta MAS menyambung semula perkhidmatan sektor Kuala Lumpur-Stockholm memandangkan laluan itu menawarkan keselesaan dan hubungan bukan sahaja kepada pelancong tetapi juga kepada masyarakat ahli perniagaan di kedua-buah negara.

"Kami berharap ia hanya penggantungan sementara. Ramai orang terutama rakyat Sweden memaklumkan kepada saya bahawa mereka kecewa dengan tindakan itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain