suria

Seorang lelaki makan 20kg sayuran yang dicuri setiap hari

NEW DELHI: Ia merupakan selera luar biasa bagi seorang lelaki Nazim Baig, 32, dari Lucknow, yang memakan kira-kira 20kg sayur-sayuran setiap hari, yang dipetik terus dari kawasan ladang tanaman hanya untuk memenuhi seleranya.

Tetapi jiran-jirannya tidak suka dengan perangainya itu hanya kerana Nazim mencurinya dari ladang-ladang mereka setiap malam dan kerap menghabiskannya sebelum matahari terbit.

Akhbar Asian Age pada Ahad melaporkan bahawa Nazim, yang tinggal di perkampungan Maulaganj kira-kira 90 km dari Lucknow di Uttar Pradesh, memakan kira-kira 15 hingga 20 kg sayuran mentah setiap hari ini, semasa semua orang sedang nyenyak tidur.

Seorang doktor tempatan yang ditemubual oleh akhbar itu menyifatkan tabiat pemakanan penduduk kampung itu sebagai "gangguan psyikologi" yang memerlukan rawatan tetapi Nazim berkata ia merupakan satu "ketagihan" dan beliau makan untuk hidup.

"Sejak saya masih kanak-kanak, saya gemar kepada makanan yang tidak dimasak terutamanya sayur-sayuran. Saya juga boleh makan daging mentah dan telur mentah tetapi saya lebih suka sayur-sayuran," beliau memberitahu Asian Age.

Nazim juga mengakui bahawa memandangkan beliau tidak mampu membeli sayur-sayuran yang begitu banyak setiap hari, beliau memutuskan untuk mencurinya pada waktu malam dari ladang jirannya.

Pada mulanya, penduduk tempatan melaporkan insiden itu kepada polis tetapi pihak berkuasa enggan mendaftarkan kes itu terhadap Nazim dan tidak mengendahkannya kerana mereka tidak dapat menemui semula sayuran yang dicuri daripada tertuduh.

Kini, para petani terpaksa menghadapi sikap aneh Nazim yang tidak membahayakan itu yang hanya mencuri sayuran segar untuk memuaskan nafsu laparnya, kata akhbar itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain