suria

700 rakyat Thailand ikuti program teknikal Malaysia

BANGKOK: Lebih 20,000 orang, termasuk kira-kira 700 rakyat Thailand, memperoleh manfaat daripada Program Kerjasama Teknikal Malaysia(MTCP) yang diperkenalkan pada 1980, kata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Husni Zai Yaacob di sini.

Katanya program itu merupakan kaedah penting dalam mengukuhkan kerjasama di peringkat serantau dan sub rantau apabila ia kini disertai 138 negara.

Kerajaan Malaysia juga telah menambah peruntukan kewangan bagi program itu daripada 450 juta baht (RM1=9.82 baht) bagi tempoh 1980-1985 kepada dua bilion baht antara 2006 dan 2010, katanya.

"Pertambahan besar daripada segi jumlah peruntukan yang disediakan ini mencerminkan dengan jelas komitmen kerajaan Malaysia dalam membantu negara membangun lain, sejajar dengan dasar 'memakmurkan jiran anda," katanya pada majlis jamuan malam Alumni MTCP di kedutaan Malaysia di sini malam tadi.

Antara yang menghadiri majlis itu ialah ketua Pengarah Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Thailand (Tica) Apinan Phataratiyanon, bekas Duta Besar Thailand ke Malaysia, yang kini Presiden Persatuan Thai-Malaysia, Tan Sri Nissai Vejjajia, dan para pegawai Kementerian Luar dan kedutaan Thailand.

Husni Zai berkata dasar yang diamalkan Malaysia adalah sejajar dengan prinsip utama Asean iaitu untuk melahirkan komuniti penyayang melalui penyediaan peluang sama rata ke arah mencapai kemajuan manusia secara menyeluruh.

"Malaysia amat yakin MTCP mampu menyumbang ke arah mengukuhkan kerjasama selatan-selatan, yang amat bertepatan dengan semangat Asean itu sendiri," katanya.

Beliau berkata rakyat Thailand berminat mengikuti kursus dalam pelbagai bidang, terutama pengurusan dan perakaunan, bahasa Inggeris dan analisis strategik, manakala maklum balas yang diterima daripada Tica pula menunjukkan lebih banyak peluang latihan perlu disediakan dalam bidang ICT, hal berkaitan rentasan sempadan dan bidang baru seperti kesihatan umum.

Sebuah kumpulan kebudayaan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya, yang berada di sini bagi menyertai "Discovery Thailand and Discovery World Programme" ke-17, menghiburkan hadirin pada majlis itu dengan pelbagai tarian Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain