suria

Jambatan Jamrah dibuka sepenuhnya kepada jemaah haji

MEKAH: Para jemaah haji tidak perlu bimbang mengalami kesesakan dan kejadian rempuhan manusia semasa mereka melakukan ibadat melontar di Jamrah seperti yang pernah berlaku sebelum ini kerana mulai tahun ini, kesemua lima tingkat jambatan Jamrah yang telah siap pembinaannya, dibuka untuk kegunaan mereka.

Edisi terbaru majalah Hajj & Umrah melaporkan bahawa dengan siapnya projek itu, jambatan berkenaan mampu menampung kehadiran lima juta jemaah sejam.

Projek pembesaran jambatan itu, yang menelan belanja SR4.2 bilion, dimulakan pelaksanannya pada Disember 2006 bagi menjamin keselamatan jemaah dan mengelak berulangnya kejadian rempuhan dan kesesakan di kawasan Jamrah.

Majalah itu berkata pengawal keselamatan akan ditugaskan di beberapa tempat, termasuk sebelum pintu ke jambatan berkenaan bagi memberi panduan kepada jemaah untuk memastikan jemaah hanya bergerak dalam satu arah.

Majalah itu berkata Kementerian Haji telah meminta penganjur haji domestik mematuhi jadual mereka dalam menghantar jemaah ke jambatan Jamrah.

Semua khemah ditetapkan waktu penghantaran jemaah masingmasing bagi menunaikan rukun haji itu bagi memudahkan tugas mengawal pergerakan pengguna jambatan itu.

Pihak berkuasa juga akan memasang skrin besar bagi membolehkan jemaah memantau pergerakan orang ramai di jambatan itu sebelum mereka meneruskan perjalanan masingmasing, kata majalah itu.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Salleh Abd Mubin berkata Tabung Haji mendapati kerja akhir pembinaan kompleks jamrah itu sedang giat dijalankan agar jemaah boleh menggunakannya akhir November ini.

Mengenai jadual melontar bagi jemaah haji Malaysia, beliau berkata pihak berkuasa Arab Saudi akan menetapkan jadual itu setelah semua jamaah haji sampai di Mekah.

"Ini bagi membolehkan pihak berkuasa membuat penilaian daripada segi jumlah jemaah sesebuah negara serta masa yang diperlukan bagi jemaah sesebuah negara membuat lontaran dan Malaysia yang diletakkan dalam kelompok Asia Tenggara akan diberikan waktu tertentu untuk melontar," katanya kepada pasukan media Tabung Haji yang membuat liputan haji musim ini.

Mohd Salleh juga berkata pemerhatian di kawasan Padang Arafah pula mendapati kerjakerja meratakan tanah serta memperbaiki kemudahan awam, terutama tandas awam, sedang giat dijalankan.

Ditanya tentang lokasi di padang Arafah di mana jemaah haji Malaysia akan ditempatkan, beliau berkata walaupun ia belum ditetapkan, tetapi beliau percaya jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di lokasi yang sama seperti tahun lepas.

Beliau berkata kerjakerja pelebaran lebuh raya serta pembinaan landasan kereta api juga sedang giat dilaksanakan dan ini menampakkan kesungguhan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menyediakan kemudahan yang sebaik mungkin bagi semua jemaah haji. BERNAMA

Artikel Lain