suria

Tiga dipercayai rakyat Malaysia mati selepas lapan hari terapung di tengah laut Sulawesi

JAKARTA: Tiga daripada 11 penumpang sebuah kapal, yang dipercayai rakyat Malaysia, mati akibat kelaparan dan kepanasan selepas terapung-apung selama lapan hari dalam sebuah bot kecil yang kehabisan minyak di tengah laut Sulawesi.

Setiausaha Mukim Ogotua, Ilham, berkata mereka yang meninggal dunia dikenali sebagai Rosida berumur lingkungan 30-an, anaknya Arisman, dua tahun dan seorang lagi kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Jonathan, 16 bulan.

Lapan lagi penumpang diselamatkan oleh kapal nelayan ke Tolitoli, Sulawesi Tengah setelah dijumpai terapung-apung di Laut Sulawesi kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan, hari ini, katanya seperti dipetik agensi berita Antara di Tolitoli.

Mereka yang menaiki sebuah bot laju kecil sedang menuju ke Tawi-tawi, Filipina lapan hari lepas tetapi tersadai di tengah laut setelah kehabisan minyak selepas gagal mencari arah tuju akibat kerosakan kompas.

Ilham, berkata selama empat jam mereka mencari arah tujuan pulau Tawi-Tawi sehingga kehabisan minyak sedangkan perjalanan dari Lahad Datu, Sabah ke destinasi mereka biasanya mengambil masa hanya sejam 15 minit.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan nakhoda bot itu, Sapil Mahmud, 40, kebanyakan penumpang itu ialah kanak-kanak.

Ilham berkata jenazah tiga mangsa korban itu sekarang berada di Pusat Kesihatan Masyarakat Ogotua, Tolitoli Utara dan kemungkinan dikebumikan di situ manakala penumpang yang lain juga dirawat di situ.

Menurut Ilham, maklumat yang diperolehinya menyebutkan mangsa mati kerana kelaparan dan kepanasan selama lapan hari terapung dalam bot kecil yang kehabisan minyak di tengah laut Sulawesi.

Penumpang lain yang selamat juga dirawat di pusat kesihatan itu.

Mereka dikenali sebagai Abd Siman Abbani, 34, Hiya Jaini, 40-an, Ronal Karsa, 39, bapa Jonathan, ibunya Ema Karsa dan kakaknya Jasmin Roy, 5.

Dua kanak-kanak yang lain yang dirawat di pusat kesihatan itu dikenali sebagai Naslin, 6 dan Rosima, 3.

"Untuk sementara mereka masih dirawat, belum diketahui apa langkah selanjutnya. Yang penting sekarang bagaimana memastikan kesihatan mereka stabil dulu," kata Ilham, yang menambah bahawa sepanjang lapan hari itu mereka tidak makan dan minum.

Sementara itu, polis masih mendapatkan keterangan tiga nelayan dari Pulau Lingayan, sebuah pulau di luar Tolitoli, yang menemui 11 rakyat Malaysia itu, di Balai Polis Tolitoli Utara.

Kuasausaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Amran Mohamed Zain ketika dihubungi berkata kedutaan sedang mendapatkan maklumat termasuk pengesahan identiti mangsa-mangsa itu dan jika disahkan rakyat Malaysia, akan segera menghulurkan bantuan kepada mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain