suria

Beberapa menteri hadiri mesyuarat D8 di KL

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Iran Dr Manouchehr Mottaki dan rakan sejawatnya dari Pakistan Shah Mahmood Qureshi adalah antara beberapa menteri yang mengesahkan kehadiran mereka pada Sesi ke12 Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) di sini Isnin ini. Menteri Luar lain ialah Turki, Dr Ahmed Davutoglu dan rakan sejawatnya dari Bangladesh Dr Dipu Moni.

Nigeria akan diwakili oleh Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar, Alhaji Jibril Maigari dan Mesir oleh Penolong Menteri Hal Ehwal Luarnya, Mohammed Al-Qurabi.

Perwakilan Indonesia akan diketuai oleh wakil Menteri Luarnya Rezlan I.Jenie.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang akan mempengerusikan mesyuarat peringkat menteri yang dijadual membincangkan isu berkaitan jaminan makanan sehingga Pelan Damai bagi Kerjasama Ekonomi dan Sosial.

Turut hadir pada mesyuarat itu dan mesyuarat berkaitan lain di sini ialah setiausaha agung D8 Jeneral Dr Dipo Alam dari Indonesia.

Menterimenteri dan yang lain dijadual tiba di sini esok dan Ahad.

D8 ditubuhkan pada 15 Jun, 1997, di Istanbul, Turki dan para anggota terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Tahun lepas, Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi D8, di mana anggota negara mempunyai penduduk kira-kira 900 juta orang dan kaya dengan pelbagai sumber ekonomi.

Kumpulan itu bertujuan menjadi mekanisme kerjasama dalam sektor ekonomi melalui perkongsian kepakaran untuk memperbaiki kedudukan anggota negara dalam ekonomi global. BERNAMA

Artikel Lain