suria

Pelajar Malaysia di Padang dapat teruskan pengajian dalam keadaan baik

PADANG: Ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang kerana anak mereka yang terus belajar di universiti di Padang selepas berlakunya gempa bumi 30 September lepas, kini dapat meneruskan pengajian dalam keadaan baik.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata setakat ini seramai 160 daripada 329 pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian mereka di Padang manakala bakinya sedang mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Pelajar yang terus tinggal di sini untuk belajar kita bantu mereka dan saya pada setiap minggu turun ke Padang untuk melihat keadaan mereka," katanya kepada wartawan Malaysia selepas majlis ramah mesra Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama pelajar Universitas Andalas di sini, pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) cawangan Padang, Murtaza Mohd Mustafa dan Pengerusi Kelab Umno Padang, Farah Nurdiyana Mohd Nazri.

Mohd Ali menyampaikan sumbangan RM10,000 Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMD), sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui beliau, untuk membantu pelajar Malaysia di Padang termasuk bagi menyewa kediaman baru dan bantuan kebajikan lain.

Dalam kejadian 30 Sept lepas, gempa bumi kuat berskala 7.6 Richter melanda Sumatera Barat menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban selain membawa kemusnahan yang teruk.

Dr Junaidy yang berpejabat di Jakarta berkata pihaknya bersama pelajar akan cuba mendapatkan rumah baru atau memperbaiki kerosakan kecil pada rumah mereka dalam tempoh terdekat ini.

Katanya pihaknya juga akan membantu pelajar "yang masih keliru" sama ada mahu belajar di Malaysia atau kembali ke Padang.

"Pelajar yang masih keliru, mereka sudah datang ke sini mengambil dokuman yang diperlukan dan pulang ke Malaysia, sekiranya urusan di Malaysia tidak ada masalah mungkin mereka akan terus belajar di Malaysia dan bagi yang ubah fikiran mereka akan kembali ke sini, kita akan bantu mereka," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan pihak pengurusan Universitas Andalas dan mereka telah memberi kelonggaran kepada pelajar Malaysia seperti tarikh peperiksaan akan dilanjutkan dan mengganti kuliah yang tidak dapat diikuti akibat bencana alam itu.

Dr Junaidy berkata pihaknya juga sedang menunggu bantuan lain daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri untuk disalurkan kepada pelajar terbabit.

Sementara itu, Mohd Ali yang juga Presiden DMDI berkata pihaknya berharap sumbangan itu hasil sumbangan derma daripada pelbagai organisasi dan individu untuk Tabung Gempa Bumi yang dilancarkan oleh kerajaan Melaka, dapat membantu pelajar terbabit meneruskan pengajian di Padang.

"Harapan saya kepada pelajar yang meneruskan pengajian di sini, mengambil peristiwa ini sebagai pengalaman berharga dalam hidup mereka bagaimana kita menghadapi suasana darurat seperti ini dan melihat bagaimana proses pemulihan dilakukan. Diharapkan dengan pengalaman ini mereka boleh menjadi sukarelawan yang berkesan pada masa depan," katanya.

Beberapa pelajar yang ditemui menyatakan semangat mereka telah pulih dan berkobar-kobar untuk meneruskan pengajian dan bersyukur usaha pemulihan terutama infrasruktur di universiti mereka berjalan lancar.

Murtaza, pelajar fakulti perubatan berkata walau pun ramai pelajar masih trauma dengan kejadian berkenaan, tetapi mereka bertekad untuk meneruskan pengajian di sini.

"Selepas gempa, semangat kami agak menurun tetapi kini selepas melihat bantuan dan dorongan yang diberikan pelbagai pihak, semangat kami pulih kembali semakin berkobar-kobar untuk belajar di sini, pengalaman di sini amat berharga, susah untuk diperolehi di tempat lain.

"Perasaan takut setiap kali gempa itu ada tetapi "kalau nak mati, di tempat mana pun mati juga, kita berserah kepada Tuhan sahaja," katanya.

Nur Zulaikha Ismail, pelajar fakulti perubatan, berkata walaupun boleh dikatakan setiap hari ada gegaran kecil namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan pengajian di universiti itu.

"Kami di sini tidak menghadapi masalah untuk belajar, bilik kuliah pun masih boleh digunakan dan kami berterima kasih kepada pelbagai pihak di Malaysia termasuk Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang datang untuk memberi bantuan," katanya.

A. Adeeban Koomar, juga pelajar Fakulti Perubatan berkata mereka kini sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Beliau berkata mereka tidak bimbang untuk meneruskan pengajian kerana kira-kira 80 peratus pelajar fakulti perubatan di universiti itu datangnya dari luar Padang di mana tempat mereka tidak pernah dilanda gempa bumi dan masih tabah dan bersemangat untuk meneruskan pengajian di sini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain